COVID-19: Sultan Perak ingatkan rakyat saling membantu golongan terjejas
Abd Razak Mohd Ali
Mei 12, 2021 12:52 MYT
Mei 12, 2021 12:52 MYT
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru masyarakat di negara ini supaya saling membantu golongan memerlukan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Baginda bertitah, dalam keriangan menyambut Aidilfitri semua pihak wajib mengambil ingatan bahawa dunia sedang bergelut menghadapi musibah berpunca daripada virus tersebut.
Ramai yang kehilangan ahli keluarga, terputus sumber pendapatan, hilang pekerjaan dan bertambah ramai yang menganggur, titah baginda.
“Oleh itu, dalam kalangan kita yang bertuah, dilindungi Ilahi daripada jangkitan penyakit dan dalam kalangan kita yang terus dilimpahi rezeki, pamerkan sifat kesyukuran dengan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang dibelenggu kesusahan,” titah baginda dalam Perutusan Aidilfitri 1 Syawal 1442 Hijrah.
Sultan Nazrin bertitah, dalam keriangan menyambut Aidilfitri, rakyat perlu bersama menghargai beban berat yang ditanggung petugas barisan hadapan dalam menangani wabak berkenaan, terutama para doktor, jururawat dan kakitangan pembantu di hospital.
Sehubungan itu, baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan penghargaan kepada khidmat yang mereka laksanakan secara komited selama ini.
Titah baginda, sudah lebih setahun mereka bertugas tanpa mengenal rehat, menghadapi keletihan, menghadapi risiko, berusaha mahu meringankan tanggungan pesakit dengan berusaha untuk menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa.
"Demikian juga penghargaan Beta dan Raja Permaisuri kepada pelbagai pihak yang mengendalikan pelbagai khidmat untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah iaitu anggota pasukan keselamatan, polis dan angkatan tentera, anggota bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; sektor pengangkutan dan sektor perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen," titah Sultan Nazrin.
Baginda berharap semoga khidmat mereka diterima oleh Allah sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar.
Baginda turut mengingatkan rakyat agar sambutan Aidilfitri dirayakan dalam norma baharu dengan mematuhi peraturan jarak fizikal yang ditetapkan.
Baginda juga menasihatkan agar aktiviti kunjung-mengunjung diminimumkan dan perhimpunan dalam bilangan yang ramai tidak diadakan agar jangkitan dapat dikawal daripada terus merebak.
#perhimpunan
#Aidilfitri
#Sultan Perak
#tentera
#keluarga
#COVID-19
#keselamatan
#Ziarah raya
#hari raya
#Sultan Nazrin Shah
#sumber pendapatan
#hilang pekerjaan
#menganggur
#perutusan Aidilfitri
#ramadan2021