COVID-19 Sultan Kelantan zahir dukacita, pendaftaran vaksin di Kelantan masih rendah

Madiha Abdullah
Mei 30, 2021 13:22 MYT
Sultan Muhammad V menitahkan rakyat Kelantan mengambil serius peningkatan jangkitan COVID-19. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita dengan peratusan pendaftaran vaksin yang masih rendah di negeri itu.
Setiausaha Sulit Kanan Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan, baginda menitahkan rakyat Kelantan supaya mengambil serius peningkatan jangkitan COVID-19 serta menjalankan peranan masing-masing bagi membendungnya.
"Baginda bertitah bahawa semua wakil rakyat di Kelantan sedia membantu rakyat yang memerlukan pertolongan untuk mendaftar dan mengalami kesukaran untuk hadir menerima vaksin pada hari yang ditentukan.
"Baginda juga menegaskan sekali lagi agar mereka yang tidak mempunyai urusan penting di Kelantan agar tidak pulang bagi mengurangkan risiko terhadap orang lain terutama warga emas dan golongan berisiko tinggi," kenyataan itu menyebut.
Sultan Muhammad V juga sekali lagi mengingatkan agar orang ramai terus mematuhi SOP, selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan yang tidak kenal penat dan lelah berkhidmat untuk masyarakat.
#Sultan Muhammad V #Sultan Kelantan #COVID-19 #vaksin #SOP #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK