COVID-19: Sukar tentukan punca kematian - Dr Noor Hisham
Hasimi Muhamad
Jun 6, 2020 19:03 MYT
Jun 6, 2020 19:03 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sukar untuk menentukan punca kematian pesakit sama ada ia disebabkan oleh COVID-19 atau komplikasi jangkitan virus tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian ketika ini sedang melihat kembali perkara tersebut sebelum mengemaskini data kematian pesakit.
"Contohnya, ialah penyakit positif COVID-19 positif, tetapi virus itu mungkin dah sampai ke jantung dan menyebabkan pembekuan darah di jantung, dan meninggal sebagai sakit jantung.
"Jadi, sekarang ini meninggal dunia (akibat) sakit jantung atau disebabkan COVID-19.
"Jadi, kita ada kerumitan untuk melihat kepada punca kematian, tetapi yang pastinya kalau mangsa COVID-19, tetapi dia membunuh diri.. itu kita boleh asingkan.
"Atau dia (pesakit) COVID-19 terlibat dalam kemalangan jalan raya, jadi kes kematian adalah disebabkan kemalangan jalan raya," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, dalam sidang media sama Dr Noor Hisham memaklumkan satu lagi kes kematian baharu berkaitan COVID-19 direkodkan di negara ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 117 kes.