COVID-19: "Sudah tiba masanya negara kaya bantu negara lain" - Tun M

Astro Awani
Jun 30, 2021 13:32 MYT
Menurut Dr Mahathir, sebelum ini hubungan negara kaya dan miskin berkisar kepada eksploitasi politik dan ekonomi namun sekarang ia boleh dibina atas dasar empati dan kemanusiaan.
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya negara kaya dan berkuasa menunjukkan empati dan membantu negara lain yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, sekarang juga adalah masa untuk semua negara menghentikan sebarang bentuk serangan ketenteraan kepada mana-mana pihak.
Menurut beliau, fokus utama dunia sekarang adalah memastikan semua negara bebas daripada COVID-19 kerana semua orang masih tidak selamat sekiranya virus masih wujud.
“Negara-negara ini harus diingatkan bahawa virus tidak membezakan penyerang dan mangsa.
“Lebih daripada apa pun, pada saat kebanyakan negara mengalami kerugian dalam menghadapi kepelbagaian mereka sendiri, negara kaya dan berkuasa harus melangkah dan memberikan bantuan.
“Tak kiralah bantuan apa pun yang diperlukan dalam membantu negara lain bangkit dan pulih,” katanya ketika berucap pada Asian Leadership Conference 2021 secara maya pada Rabu.
Tambah beliau, sebelum ini hubungan negara kaya dan miskin berkisar kepada eksploitasi politik dan ekonomi namun sekarang ia boleh dibina atas dasar empati dan kemanusiaan.
Dalam pada itu, mengulas pembukaan sempadan melibatkan negara Asia, Dr Mahathir berpendapat, sempadan negara tidak harus dibuka segera kerana bimbang keadaan mungkin menjadi semakin teruk.
“Sekiranya negara-negara Asia dan negara maju membuka sempadan terlalu cepat sebelum mencapai tahap imuniti yang sama, ini akan membawa kepada kemungkinan munculnya varian baru dan seperti itu.
“Dalam kata lain, dunia hanya akan sembuh apabila kedua-dua negara kaya dan miskin kembali pulih bersama-sama,” ujarnya.
Tegas Dr Mahathir lagi, sekiranya separuh daripada negara dalam dunia masih belum bebas COVID-19, tidak mustahil ia mampu menyebabkan negara lain terjejas semula.
#Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #bekas PM #negara kaya #negara maju #negara miskin #bantu #COVID-19 #ekonomi #Asia #pandemik
;