COVID-19: Sudah tiba masa tingkatkan kapasiti peralatan dan jumlah kakitangan

Astro Awani
Julai 24, 2021 14:25 MYT
Tindakan kerajaan melibatkan pihak swasta dalam pengawalan COVID-19 juga merupakan inisiatif yang baik dan dapat mengurangkan beban kepada hospital kerajaan.
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertingkatkan kapasiti peralatan dan jumlah kakitangan di hospital bagi membendung COVID-19.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, tindakan itu perlu dilakukan memandangkan kes baharu kini mencecah 15,000 kes sehari.
Menurutnya, tindakan kerajaan melibatkan pihak swasta dalam pengawalan COVID-19 juga merupakan inisiatif yang baik dan dapat mengurangkan beban kepada hospital kerajaan.
Tambahnya, kerjasama sebegitu dapat memastikan bilangan katil di hospital kerajaan dapat digunakan dengan lebih baik dan akan mempunyai ruang lebih besar untuk merawat pesakit.
Kawalan COVID-19 | Tingkatkan kapasiti peralatan, jumlah kakitangan
“Namun begitu, beberapa perkara yang harus dilakukan antaranya adalah koordinasi yang penting dengan pihak swasta.
“Sehingga kini, masih belum diselesaikan dari segi kaedah bagaimana hospital swasta itu akan dibayar bila kes dirujuk kepada mereka terutamanya kes-kes yang bukan COVID-19. Ini harus diselesaikan dan tindakan segera perlu diambil.
“Ini bagi memastikan apabila pesakit dirujuk kepada hospital swasta, mereka tidak dikenakan bayaran tinggi dan kalau kerajaan hendak lakukan pembayaran, kadar bayaran itu harus ditetapkan dengan jelas,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Tambahnya, pemantauan juga perlu dilakukan supaya tiada penyalahgunaan berlaku dan pihak swasta tidak meletakkan caj begitu tinggi sehingga tidak mampu ditanggung masyarakat.
Penambahan tenaga kerja hospital kerajaan dan latihan kemahiran perlu seiring untuk solusi jangka panjang - Dr Nazirah
BACA: Lebih 100 hospital swasta bantu rawat pesakit COVID-19
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan hospital swasta melalui penggunaan Ordinan Darurat membantu usaha merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dr Adham menjelaskan, kerjasama melibatkan 100 buah hospital swasta terutama di kawasan-kawasan bandar itu telah menyediakan sebanyak 2,400 buah katl bagi merawat pesakit COVID-19.
Tambahnya, KKM juga bekerjasama dengan hospital swasta bagi merawat penyakit yang bukan COVID-19 yang kritikal dan perlu mendapat rawatan segera.
Kerjasama itu, jelas beliau membolehkan hospital kerajaan menumpukan rawatan kes-kes COVID-19 yang kritikal melibatkan tahap keempat dan kelima.
#Hospital #kerajaan #swasta #COVID-19 #KKM #SOP #kakitangan #Kementerian Kesihatan #jururawat #Doktor #Adham Baba #Menteri Kesihatan #rawatan
;