COVID-19: Strain mutasi D614G boleh merebak 10 kali ganda lebih pantas - Dr Noor Hisham

Hasimi Muhamad
Ogos 10, 2020 18:50 MYT
Jelas Dr Noor Hisham, mutasi D614G mampu menjangkiti 10 kali ganda lebih pantas berbanding virus asal.
Strain virus yang mengalami mutasi dikenali sebagai D614G iaitu virus perebak utama (super spreader) mampu menjangkiti 10 kali ganda lebih pantas berbanding virus COVID-19 yang asal.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mutasi tersebut telah dikesan sejak Julai lalu, dan pakar kesihatan dunia percaya ia paling mudah merebak.
Selain Mesir dan Pakistan, jelas Dr Noor Hisham mutasi D614G turut dikesan di Eropah dan beberapa negara lain.
“Sebelum ini ada mutasi D614, dan sekarang ini D614G. Ini kombinasi bulan Julai (yang telah) dilaporkan D614G iaitu ada mutasi dalam spike (peningkatan kes) iaitu permukaan virus tersebut.
“Ini akan meningkatkan jangkitan atau kebolehjangkitan lebih daripada 10 kali ganda,” katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menambah kajian sedang giat dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk menentukan ada strain virus yang tersebar di negara ini turut membabitkan mutasi D614G.
Dr Noor Hisham memaklumkan, selain itu keputusan sama ada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah adalah sebahagian dari 'super spreader' atau sebaliknya akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.
“Setakat ini kita sedang melihat kepada makmal. Makmal IMR sedang mengkaji dan kita asingkan virus tersebut iaitu virus dari Kluster Sivagangga.
“Mungkin dalam tempoh seminggu lagi kita akan melihat kepada genome sequence sama ada, ia (melibatkan) mutasi tersebut atau pun tidak. Setakat ini kita hanya bimbang, ia ada mutasi tersebut (D614G),” katanya.
Strain D614G adalah perebak utama COVID-19 di Mesir dan Pakistan.
#coronavirus #COVID-19 #KKM #Kluster Sivaganga #mutasi D614G #Noor Hisham Abdullah #super spreader
;