COVID-19: Stok beras dalam negara masih mencukupi
Faris Danial Razi
Mac 28, 2020 19:23 MYT
Mac 28, 2020 19:23 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menafikan laporan media yang menjelaskan bahawa jumlah stok beras negara hanya mampu bertahan selama dua setengah bulan.
Menurut satu kenyataan media pada Sabtu, kementerian itu mendakwa, jumlah stok semasa beras dengan mengambil kira pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten bagi menampung keperluan dalam negara yang berterusan.
“Buat masa ini, import beras juga tidak terjejas dan berjalan seperti sedia kala. Selain negara Vietnam, beras turut diimport dari negara-negara pengeluar lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar, India, Cambodia dan lain-lain.
“Syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) juga diarahkan oleh Kerajaan untuk memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras import dalam negara.
“Walau bagaimanapun, kebergantungan kepada beras import hanya 30 peratus daripada keseluruhan keperluan dalam negara,” jelas kenyataan tersebut.
Pada masa sama, kementerian itu akan terus memantau bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan bulanan negara sebanyak 200,000 tan metrik.
Orang ramai juga dinasihati agar tidak bimbang dengan keadaan stok beras dalam negara.
#beras
#Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
#koronavirus
#Myanmar
#stok beras
#Syarikat Padiberas Nasional Bhd BERNAS
#Thailand
#Vietnam