COVID-19: STFC bangunkan platform analitikal
Umavathi Ramayah
April 2, 2020 15:54 MYT
April 2, 2020 15:54 MYT
Sebagai usaha memerangi jangkitan wabak COVID-19, Majlis Tindakan Khas COVID-19 Selangor (STFC) mengambil inisiatif baharu dengan membangunkan sebuah platform analitikal dengan keupayaan perincian dataraya (big data analytics) dan kepintaran mesin terkini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dengan bantuan perincian itu, rekomendasi STRC kini dapat bersandarkan kepada kajian-kajian saintifk yang terkini serta dikemaskini dengan pantas terutamanya dalam tempoh epidemik ini.
Selain itu katanya, ia juga adalah bagi membolehkan ahli-ahli STFC tidak hanya tertumpu kepada isu beban kes COVID-19 malah turut mengambil kira beban populasi, taburan populasi terpinggir seperti ibu tunggal, warga emas, warga berpendapatan rendah dan faktor sosioekonomi dalam menyusun perancangan prioriti dan cadangan tindakan.
"Ekoran itu, kami amat berharga Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) agar berkongsi data klinikal bagi membolehkan kami melengkapkan analitik yang dibangunkan.
"Data ini tidak bermaksud data pesakit atau patient identity, yang mesti kekal rahsia di bawah Akta Perubatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dzulkefly menjelaskan, analitik data ini, akan dapat membantu memacu tindakan kawalan penyakit, saringan komuniti bersasar secara lebih mikro, dan juga menggerakkan saluran bantuan dan kebajikan, termasuk menjaga kesihatan mental warga Selangor.
Pada masa yang sama, beliau sekali lagi menyeru seluruh rakyat Selangor khasnya, untuk mematuhi segala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini telah memasuki fasa kedua.
"Semoga kita dapat sama-sama ‘melandaikan keluk epidemik’ COVID-19 ini dengan kadar yang segera, demi kesejahteraan negeri dan negara yang tercinta," ujarnya.
#coronavirus
#COVID19
#Dzulkefly Ahmad
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#koronavirus
#Malaysia
#perubatan
#STFC
#warga emas