COVID-19: Status peralihan fasa akan dinilai semula - Dr Zaliha
Hasimi Muhamad
Mei 30, 2023 16:39 MYT
Mei 30, 2023 16:39 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia akan menilai semula status peralihan fasa ke endemik selepas pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan berakhir pada 30 Jun ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata semakan tersebut akan turut mengambil kira garis panduan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kes jangkitan COVID-19 dalam negara.
"Sebenarnya pada masa sekarang ini negara kita masih lagi belum masuk ke fasa endemik. Kita masih lagi dalam peringkat transisi.
"Walaupun WHO telah menguar-uarkan COVID-19 bukan lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global, tetapi disebabkan negara kita masih lagi kita lihat, contohnya ketika perayaan ada peningkatan (kes) sedikit.
"Tetapi peningkatan (kes) itu masih terkawal dan kes-kes berlaku adalah rendah keterukan, tetapi kebimbangan itu masih ada dan kita masih pantau jangkitan.
"Insya-Allah pada pertengahan bulan Julai ini akan berakhir dan pada pertengahan bulan Jun, kita akan nilai balik bagaimana keadaan itu dan kita juga sudah tentu melihat garis panduan yang akan diberikan WHO," katanya, di sini, pada Selasa.
Dr Zaliha berkata demikian pada sesi taklimat Kertas Putih Kesihatan kepada media bersama Menteri Kesihatan di kementeriannya, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan Kawasan Tempatan Jangkitan yang tamat pada 31 Disember tahun lalu hingga 30 Jun ini.
Dr Zaliha berkata, lanjutan itu bagi memudah cara aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan COVID-19 menggunakan peruntukan di bawah P.U. (A) 83/22.