COVID-19: SKM peruntuk insentif pemulihan RM1 juta
Astro Awani
September 20, 2020 11:57 MYT
September 20, 2020 11:57 MYT
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk bantuan insentif promosi dan pemasaran, serta penganjuran program pemulihan sokongan bermanfaat, bagi lebih 80 koperasi yang terbabit dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri.
Ia disalurkan menerusi Program Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi: Insentif Promosi Dan Pemasaran Sektor Ekonomi Utama Pelancongan Dan Penjagaan Diri (PULIH) yang bertindak membantu koperasi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sehingga September, SKM meluluskan bayaran insentif PULIH berjumlah RM525,500 kepada 65 koperasi di negara ini.
"Bagi Terengganu pula, terdapat sembilan koperasi diluluskan untuk bayaran insentif PULIH dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM70,000.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mensasarkan sumbangan perolehan koperasi berjumlah RM100 bilion menjelang 2030 seiring peranan sektor koperasi sebagai instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan B40.
“Antara objektif lain PULIH termasuk membantu koperasi berdepan cabaran ekonomi semasa dalam jangka masa pendek selepas pembukaan semula ekonomi bagi sektor pelancongan dan penjagaan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia sempena Program Eksplorasi Koperasi Terengganu dan Pelancaran Program PULIH, di Kuala Terengganu, pada Sabtu.
Pada majlis itu juga, Mas Ermieyati turut menyerahkan insentif PULIH kepada sembilan buah koperasi berjumlah RM70,000 daripada negeri Terengganu.
Dalam pada itu katanya, program berkenaan dapat mendorong dan membantu koperasi untuk menjana semula aktiviti serta meningkatkan pendapatan menerusi bantuan promosi dan pemasaran dan membantu kelangsungan koperasi bagi kedua-dua industri.
"Secara keseluruhannya, gerakan koperasi kini berada dalam era globalisasi dengan pasaran semakin mencabar.
"MEDAC juga komited untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi inklusif, seimbang dan mapan.
“Justeru, saya menggesa agar Gerakan Koperasi supaya menjadi lebih kreatif, berinovasi, berani menceburi dan merebut perniagaan berskala besar," ujarnya.
Katanya lagi, program itu turut mewujudkan produk dan perkhidmatan baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui perusahaan berteraskan inovasi.
Jelasnya, MEDAC sentiasa memastikan usaha membangunkan gerakan koperasi sebagai agenda utama selaras dengan objektif DKN 2030 bagi menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, seimbang dan mapan.
#agenda
#ekonomi
#insentif pulih
#koperasi
#koronavirus
#Kuala Terengganu
#Malaysia Airlines
#Mas Ermieyati Samsudin
#Medac
#pelancongan
#pembukaan semula ekonomi
#Program PULIH
#sektor pelancongan
#SKM
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia
#usahawan