COVID-19: Singapura catat kematian ke-31

Bernama
Mei 1, 2021 04:37 MYT
Setakat 12 tengah hari Sabtu, 34 kes baharu dilaporkan di Singapura, dengan 25 daripadanya kes import dan dua kes daripada asrama menjadikan jumlah kes keseluruhan 61,179. - Gambar fail
SINGAPURA: Singapura pada Sabtu melaporkan satu lagi kematian akibat komplikasi daripada jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik ini kepada 31.
Dalam data lengkap yang dikeluarkan di sini, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata korban terbaharu itu melibatkan seorang wanita warga Singapura berusia 88 tahun yang meninggal dunia di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.
Dilabelkan sebagai Kes 62573, kementerian itu berkata wanita warga emas itu dimasukkan ke wad Hospital Tan Tock Seng Hospital (TTSH) dari 14 April dan disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 28 April.
"Pesakit mempunyai sejarah penyakit kanser, hipertensi, kegagalan jantung, strok dan 'hyperlipidaemia'," kata kementerian itu.
Mangsa merupakan antara 16 kes positif yang mempunyai kaitan dengan Kluster Kes 62541, seorang jururawat yang disahkan positif COVID-19 pada 27 April.
Korban terakhir COVID-19 dilaporkan pada 13 Mac lepas.
Sementara itu, seorang wanita warga Malaysia berusia 22 tahun merupakan antara tujuh kes baharu menerusi jangkitan tempatan yang dilaporkan pada Sabtu.
Dilabelkan sebagai Kes 62686, beliau bekerja sebagai ahli terapi spa di Spa 9, Holland Drive mengalami hidung berair pada 28 April dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan didapati positif COVID-19.
"Keputusan saringannya yang positif diterima keesokan hari. Keputusan ujian serologi didapati negatif, menunjukkan ini kemungkinan satu jangkitan baharu," kata kementerian itu.
Setakat 12 tengah hari semalam, 34 kes baharu dilaporkan di Singapura, dengan 25 daripadanya kes import dan dua kes daripada asrama menjadikan jumlah kes keseluruhan 61,179.
Setakat ini, terdapat sembilan kluster kes COVID-19 di republik ini.
-- BERNAMA
#meninggal dunia #wanita #Singapura #COVID-19 #kes positif #jumlah kematian #penyakit berjangkit #Kementerian Kesihatan #warga emas #mangsa #jururawat #Jangkitan tempatan #asrama
;