COVID-19: Singapura akan selaras sekatan sempadan bagi tiga kawasan
Bernama
Julai 17, 2020 05:27 MYT
Julai 17, 2020 05:27 MYT
Singapura sedang membuat pelarasan sekatan sempadannya bersesuaian dengan situasi COVID-19 di negara lain dan risiko kes jangkitan import, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19 republik itu.
Pelawat yang tiba di Singapura selepas 11.59 malam Ahad ini dan mempunyai sejarah perjalanan termasuk transit di Victoria, Australia, Jepun dan Hong Kong perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di tempat kemudahan yang disediakan dan bukan di kediaman mereka.
Pengerusi bersama pasukan petugas itu, Lawrence Wong berkata mereka perlu mengambil ujian COVID-19 sebelum mengakhiri SHN.
Katanya, semua pelawat yang meninggalkan Singapura dari 27 Mac lalu walaupun terdapat nasihat perjalanan, dan pelancong yang bukan warga Singapura atau penduduk tetap diwajibkan membayar kos penginapan di kemudahan SHN yang ditetapkan itu.
"Ini adalah perubahan yang sedang kami laksanakan. Saya fikir ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana kerajaan telah berulang kali menekankan langkah sekatan sempadan Singapura tidak statik," katanya yang juga Menteri Pembangunan Negara.
"Kami terus mengkaji semula dan mengemas kininya berdasarkan penilaian kami mengenai keadaan penularan virus di pelbagai negara di seluruh dunia," kata Wong pada sidang media secara maya.
Beliau berkata ia adalah tindakan yang dilaksanakan bagi memastikan dapat mengawal jangkitan dan penularan wabak itu dalam masyarakat.
"Kita mungkin akan melakukan langkah yang lebih ketat selepas menilai keadaan semasa," katanya.
Menurutnya pendirian kerajaan itu mungkin tidak berubah dalam tempoh terdekat susulan peningkatan kes di luar negara.
Di peringkat global, kini terdapat lebih daripada 13 juta kes COVID-19 yang dilaporkan dengan lebih daripada 500,000 kematian.
-- BERNAMA