COVID-19: Sikap rakyat Malaysia tentukan lanjutan PKP

Bernama
Mac 30, 2020 09:57 MYT
Masih ada segelintir rakyat yang memandang ringan PKP. Gambar hiasan/ Bernama.
TIDAK dinafikan tahap kepatuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencapai 97 peratus namun bukan peratusan itu yang dimahukan kerajaan untuk menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Kerajaan mahukan pematuhan 100 peratus. Namun apabila melihat kepada jumlah 649 individu yang ditahan pada Sabtu di seluruh negara iaitu meningkat sekali ganda berbanding hari sebelumnya, ia menggambarkan masih ada kalangan rakyat yang ingkar dengan PKP dan memandang ringan ancaman maut COVID-19.
Ada antara mereka yang diperiksa dan ditahan ketika melepak di warung kopi, tempat-tempat awam dan lebih teruk melanggar sekatan jalan raya PKP yang dijalankan. Keluar membeli makanan adalah antara alasan yang diberikan. Tetapi perlukah sampai keluar empat kali membeli makanan? Apa sudah jadi?
Walaupun tempoh dua minggu pertama PKP akan berakhir esok (Selasa), masih ada dua minggu lagi untuk rakyat Malaysia memperbaiki 'angka pematuhan' perintah PKP dan bersama kerajaan memerangi wabak ini. Jadi teruskanlah bantu kerajaan dengan cara mendisiplinkan diri, "duduk di rumah" dan hanya keluar bila perlu sahaja.
Hari ini merupakan hari ke-13 penguatkuasaan PKP dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan PKP peringkat kedua dijangka diumumkan hari ini (Isnin) dengan peraturan lebih tegas berbanding dilaksanakan ketika ini, dengan harapan PKP tidak perlu dilanjutkan lagi selepas 14 April, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
Hari ini juga, kerajaan akan melakukan Operasi Nyah Cemar wabak COVID-19 di seluruh negara melibatkan lokasi titik panas iaitu Zon Merah dan Zon Jingga melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di seluruh negara.
Selain PKP, usaha serius dan berterusan kerajaan melaksanakan proses nyah cemar sememangnya wajar dipuji dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 kerana sehingga petang semalam 150 kes baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,470 dengan jumlah kematian sebanyak 35 kes.
Sebenarnya, beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa negeri terlebih dahulu mengambil langkah proaktif melaksana proses nyah cemar dengan menumpukan di kawasan berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak berkenaan.
Antaranya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah secara besar-besaran melakukannya di sekitar ibu kota bermula Sabtu, di sekitar kawasan Sri Petaling.
Selain itu hampir semua 15 PBT di Perak telah melaksana proses itu di kawasan masing-masing sejak awal minggu ini, dengan tumpuan antaranya pasar awam, taman atau padang rekreasi. Proses sanitasi juga dilakukan Majlis Perbandaran Klang sejak 23 Mac melibatkan 35 lokasi.
Tidak dilupakan juga semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika meninjau sebuah pasar raya di ibu kota, melahirkan rasa syukur dan lega kerana orang ramai semakin peka terhadap saranan kerajaan berhubung pematuhan jarakan sosial sepanjang tempoh PKP ini.
"Pagi tadi (semalam) saya sempat turun ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Cari barang-barang sedikit sambil melihat amalan orang ramai di pasar raya. Alhamdulillah, ramai sudah peka mengenai keperluan jarak sosial," katanya dalam catatan di media sosial rasminya.
Apa yang menariknya, hantaran tersebut menerima komen positif daripada rakyat yang memuji Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mengotakan apa dikatakan, iaitu hanya ketua keluarga dibenarkan keluar sekiranya perlu mendapatkan barang keperluan di rumah khususnya barangan makanan.
Mulai tengah malam tadi juga, kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor membabitkan tujuh kampung merangkumi 700 kediaman merupakan kawasan terbaharu dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh kerajaan.- BERNAMA
#97 peratus #ismail sabri yaakob #koronavirus #Kuala Lumpur #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan #PKP
;