COVID-19: Sidang DUN Sarawak dipendekkan, Belanjawan 2021 dibentang 9 Nov
Fadilah Sulaiman
November 5, 2020 16:31 MYT
November 5, 2020 16:31 MYT
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima dipendekkan kepada lima hari bermula 9 hingga 13 November 2020 ekoran peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.
Jelas Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak seperti yang dinasihati Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Menurut Mohamad Asfia, Belanjawan negeri 2021 pula akan dibentangkan pada hari pertama persidangan iaitu 9 November dan dibahas pada 11 November.
“Setiap Ahli Yang Berhormat, anggota Kabinet dan semua orang yang memasuki dewan persidangan termasuk Speaker mesti mengambil ujian saringan. Ini akan dilakukan pada 6 dan 7 November ini.
“Bangunan DUN akan dinyah kuman dan disanitasi pada 8 hari bulan, sehari sebelum persidangan dan pada 14 hari bulan, sehari selepas persidangan,” katanya pada sidang media Persidangan DUN Sarawak di Bagunan DUN baharu di Kuching hari ini.
Tambah Mohamad Asfia lagi, pada persidangan kali ini, tiada pembentangan jawapan menteri setiap kementerian susulan keputusan memendekkan tempoh sidang DUN.
Katanya, jawapan menteri setiap kementerian akan dirangkumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
#DUN Sarawak dipendekkan
#Belanjawan Sarawak
#Bajet Sarawak
#Belanjawan 2021 Sarawak
#Ketua Menteri
#Abang Johari Tun Openg
#Speaker DUN
#Mohamad Asfia Awang Nassar
#tangani penularan COVID