COVID-19: Sibu catat kes harian terendah sejak Kluster Pasai - Dr Annuar

Astro Awani
Julai 25, 2021 12:47 MYT
DR ANNUAR RAPAEE: Jangan bertepuk tangan dulu dengan adanya tiga kes. Teruskan kerjasama dengan pihak berkuasa. -Gambar fail
SIBU: Sibu mencatat kes harian terendah sejak tercetusnya Kluster Pasai dengan hanya tiga kes baharu dikesan pada Sabtu.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapaee bagaimanapun berharap agar orang awam tidak terlalu gembira, sebaliknya kekal waspada serta memantau kesan varian Delta dan bekerjasama dalam pemberian vaksin secara menyeluruh di sini
Beliau juga menyeru agar semua pihak terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian COVID-19.
“Kes kita hari itu di Sibu ada tiga. Banyak orang gembira dengar sebab saya rasa itu yang paling rendah sejak bulan satu.
"Tapi kalau tanya saya, jangan terlalu suka. Kita mahu lihat kesan daripada varian Delta itu dulu.
"Jangan bertepuk tangan dulu dengan adanya tiga kes. Teruskan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Pastikan yang belum ambil vaksin dipujuk ambil vaksin,” kata Dr Annuar.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 84.3 peratus warga Sibu telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 52.3 peratus lagi telah mendapat dos penuh.
Namun, Dr Annuar berkata sasaran utama vaksinasi di Sibu bukan hanya mencapai immunisasi kelompok, malah immunisasi secara menyeluruh agar dapat mengurangkan risiko terhadap jangkitan COVID-19.
"Dos pertama 84.3 peratus daripada populasi yang layak. Dos penuh 52.3 peratus.
"Insya-Allah dalam dua, tiga minggu ini, kita akan lebih daripada 80 peratus yang dapat dua dos," katanya lagi.
Beliau menyeru agar semua pihak berwaspada dengan kewujudan varian Delta di Sibu dan memandang serius perkarasa itu agar ia tidak merebak.
Terdahulu, satu kes varian Delta telah dikesan di Sibu pada 21 Julai berasal daripada seorang pendatang asing tanpa izin dari Indonesia yang datang ke Sibu pada 5 Julai dan disahkan positif COVID-19 pada 7 Julai.
#COVID-19 #Kluster Pasai #Sibu #dos pertama #pendatang asing #vaksin #JPBB #Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana #Annuar Rapaee
;