COVID-19: SFC ambil langkah proaktif lindungi Orang Utan
Syafik Shukri Jalil
April 11, 2020 12:24 MYT
April 11, 2020 12:24 MYT
Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengambil langkah berjaga-jaga dengan mempraktikkan amalan-amalan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan COVID-19 daripada menjangkiti Orang Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kuching.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolikpli Mohamad Aton, biarpun ketika ini masih ada pekerja yang datang bekerja, namun bilangan mereka dikurangkan.
Malah, setiap petugas juga dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) dan menjalani Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memeriksa suhu badan sebelum melangkah masuk ke pusat hidupan liar tersebut.
“Di sini kami ambil segala langkah-langkah yang digariskan seperti penjarakan sosial dan amalan kebersihan yang tinggi bagi setiap pekerja yang bertugas dalam satu-satu masa.
“Selain itu, lokasi yang menjadi tumpuan Orang Utan bermain juga sudah disanitasi sepenuhnya bagi memastikan haiwan-haiwan ini terus selamat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat,
Jelasnya lagi, setiap petugas yang ditugaskan memberi makanan juga mengamalkan penjarakan sosial yang baik dengan menjarakkan diri hampir 30 ke 40 meter.
Ia bagi tujuan keselamatan dan memastikan hidupan liar terus bebas daripada dijangkiti wabak tersebut.
Bagi langkah kesihatan penjagaan hidupan liar di sini, Zolkipli berkata, buat masa ini pihak SFC akan terus memastikan amalan kebersihan dilaksanakan pada tahap tertinggi.
Ini kerana, ujarnya, COVID-19 dipercayai berpotensi menjangkiti haiwan seperti apa yang berlaku pada seekor Harimau Malaya di Bronx Zoo, Amerika Syarikat.
“Seandainya ada gejala-gejala pada Orang Utan di sini, kami akan mendapatkan nasihat daripada doktor veterinar.
"Kita juga punya hubungan yang baik dengan pakar hidupan liar di peringkat antarabangsa seperti Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Indonesia.
“Pihak kami juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan akan menghubungi mereka sekiranya terdapat gejala-gejala menyerupai COVID-19 pada hidupan liar di sini.”
#Amerika Syarikat
#Bronx Zoo
#COVID-19
#gejala
#harimau Malaya
#hidupan liar
#Orang Utan
#Pusat Hidupan Liar Semenggoh
#Sarawak Forestry Corporation
#Simptom
#Singapura
#United Kingdom