COVID-19: Seramai 81 individu selamat dibawa pulang dari Itali

Bernama
Mac 26, 2020 12:49 MYT
Pesawat khas AirAsia misi HADR yang digerakkan kerajaan Malaysia itu tiba di KLIA pada 10.06 pagi. - Gambar fail 26 Feb 2020/BERNAMA
Sebanyak 76 rakyat Malaysia serta lima individu bukan warganegara dibawa pulang dari Itali menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) susulan penularan wabak COVID-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.
Pesawat khas AirAsia misi HADR yang digerakkan kerajaan Malaysia itu tiba di KLIA pada 10.06 pagi, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Turut serta dalam penerbangan ialah lima kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Luar (seorang), kru AirAsia (20 orang) dan seorang pegawai NADMA.
Kesemua 81 penumpang rakyat Malaysia serta tanggungan dan bukan warganegara itu menjalani proses saringan di Unit Kecemasan Udara (ADU), KLIA sebelum dihantar ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, dekat sini untuk proses kuarantin selama 14 hari.
Tindakan operasi nyahcemar dilaksanakan dengan gabungan 263 anggota daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, KKM, NADMA, AirAsia Enginering, Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Polis Diraja Malaysia, dan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA.
-- BERNAMA
#AirAsia #coronavirus #COVID-19 #COVID19 #Itali #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Kementerian Kesihatan #Kementerian Luar #KKM #KLIA #koronavirus #Kuala Lumpur #Malaysia #NADMA #operasi #penerbangan #Polis Diraja Malaysia #rakyat Malaysia
;