COVID-19: Sepintas lalu kefahaman isu hierarki sosial di Malaysia
Dr Noor Dzuhaidah Osman
April 3, 2020 09:38 MYT
April 3, 2020 09:38 MYT
STESEN televisyen Britain, British Broadcasting Channel (BBC), juga di dalam artikel Sarawak Report (SR) baru-baru ini menyelar kerajaan pemerintahan Perdana Menteri Pakatan Nasional yang baru Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tentang isu ‘ketua keluarga’, hanya yang dibenarkan pergi membeli barangan di pasar raya.
Kelihatan riuh di sosial media apabila rakyat Malaysia membuat dan berkongsi pelbagai ‘posting’ ketua keluarga ini tidak dapat membezakan berjenis ikan, bayam dan kangkung, halia dan lengkuas, pelbagai jenis mee, rempah dan herba.
Penulis SR tersebut menyindir di Malaysia masih terdapat hierarki sosial, kelebihan sosial juga pemisahan sosial lebih daripada mementingkan aspek penjarakan sosial yang lebih penting.
Walaupun penulis juga tidak mengambil serius perkara tersebut di masa-masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, tetapi penulis terpanggil untuk membicarakan isu tersebut apatah lagi dilontarkan persoalan undang-undang iaitu adakah mana-mana undang sivil yang meletakkan lelaki sebagai ketua dalam keluarganya.
Penulis sebenarnya cuba untuk berfikir juga mengajak pembaca berfikir secara kritikal dan kritis juga membina dalam memahami lontaran kritikan tersebut.
Secara peribadi penulis berpendapat bahawa persoalan-persoalan yang dilontarkan adalah sah juga logik seperti berikut:
Bagaimana pula dalam keluarga yang perempuannya lebih berpendidikan tinggi, jika tiada lelaki di rumah juga bagaimana pula jika ada lelaki tapi terlantar sakit?
Bagaimana seseorang mahu mengenalkan diri sebagai ketua keluarga jika berbelanja di pasar raya juga ketika ditahan polis atau tentera semasa sekatan jalanraya?Adakah masalah jantina suatu perkara yang penting jika anda ke pasar raya tanpa ditemani dan hanya bergantung kepada senarai pembelian barangan keperluan?
Dan persoalan yang paling sinis dilontarkan ialah adakah rasional kerajaan baru ini mengutarakan terma ‘ketua keluarga’ yang dikira sebagai ‘bodoh’, mengelirukan juga tidak membantu tentang status pembeli ketika ini?
Jelasnya di sini dikatakan kerajaan Pakatan Nasional yang hanya membenarkan ketua keluarga untuk keluar rumah sebagai sebahagian langkah dalam usaha membanteras virus COVID-19, dalam pematuhan ke atas PKP, dikatakan mempunyai kesan-kesan yang tidak dijangka.
Dikatakan secara melawak bahawa belian panik sebenarnya apabila lelaki sebagai ketua keluarga harus keluar membeli barangan keperluan sendiri dan kerajaan yang membenarkan ketua keluarga keluar membuat belian tanpa ditemani dikatakan boleh membawa bencana.Itu adalah antara kritikan SR terhadap isu tersebut.
Ada beberapa perkara boleh dilihat di dalam isu ini. Pertamanya ialah nyata beza budaya di England khususnya, barat umumnya dan di Malaysia juga isu hierarki sosial.
Di England contohnya perkahwinan dilihat sebagai satu perkongsian samarata bahagian di antara lelaki dan perempuan di mana setiap mereka mempunyai tugasan masing-masing dalam perkahwinan.
Penulis pernah melihat rancangan televisyen berapa tahun lalu di mana ada program pertukaran pelajar UK dan Malaysia yang mana pelajar kulit putih tersebut mengalami kejutan budaya apabila di rumah bapa merupakan ketua keluarga yang mana beliau yang berkuasa memegang alat kawalan jauh televisyen.
Ini bukan halnya di England nampaknya. Di Malaysia penulis kira sama seperti negara-negara Asia juga Timur Tengah yang lain, lelaki merupakan ketua keluarga.
Ini adalah satu budaya juga adat mungkin ketimuran juga di dalam Islam yang menyatakan lelaki adalah pemimpin wanita.
Ini adalah suatu budaya juga adat resam juga bersandar agama yang dilihat tidak diterima pakai di barat juga setengah orang Islam di barat.
Terdapat kes di mana wanita menjadi imam solat sebagai tanda penolakan terhadap budaya,agama juga adat resam tersebut.
Tetapi secara peribadi dan pengamalan di sebalik penolakan tersebut, penulis berpendapat bahawa samada secara lumrah atau tidak, di barat juga mengamalkan sistem ketua keluarga tersebut.
Penulis melihat dalam drama sitkom bersiri Everybody Loves Raymond, ibu Raymond juga, pernah mengutarakan bahawa fahaman liberasi wanita dilihat menjengkelkan.
Wanita menurutnya tugasnya di dapur, menjaga keperluan di rumah juga melayan suami dan suami adalah ketua keluarga.
Kemudian isu pembelian barangan keperluan persoalannya terletak di bahu siapa. Lelaki atau wanita?
Nampaknya apabila lelaki sebagai ketua keluarga di Malaysia terpinga-pinga membeli barang keperluan, secara dasarnya adat resam meletakkan kerja membeli barangan kepada isteri atau wanita secara majoritinya.
Majoriti lelaki ketua keluarga yang keluar membeli barangan keperluan dilihat berumur sekitar 30an dan 40an.
Senario mungkin berbeza jika lelaki 50an atau pencen yang keluar membeli barangan keperluan. Mereka mungkin lebih arif dan tahu kerana kelebihan kematangan pengalaman hidup.
Keduanya ialah isu kelebihan sosial dalam masyarakat yang memberikan kelebihan kepada lelaki berbanding wanita.
Saya kira sebagai orang Asia juga beragama Islam, hal ini dapat difahami secara jelas.Kita melihat sejak zaman datuk nenek moyang juga ibu ayah kita, secara umumnya lelaki adalah yang menyara keluarga.
Dari zaman perang semasa penjajahan Jepun juga British, orang lelaki yang diberi keutamaan pendidikan berbanding perempuan.
Jika ada antara anak yang harus dipilih masuk ke universiti, maka ketua keluarga akan memilih anak lelakinya berbanding perempuan.Anak perempuan dikatakan tempatnya di dapur, setinggi-tinggi mana pun belajar akan ke dapur juga.
Penulis secara peribadi juga pernah disindir begitu, apabila menyuarakan hasrat mahu keluar negara melanjutkan ke peringkat ijazah PhD di luar negara setelah berkeluarga.
Terdiam mendengar pernyatan tersebut, saya tidak mudah lemah semangat malah membulatkan tekad dan azam lalu meneruskan usaha ke sana dan akhirnya berjaya Alhamdulillah.
Ibu penulis juga walau merupakan pelajar yang pintar di dalam bidang agama terpaksa memberi laluan kepada adiknya yang lelaki untuk masuk ke universiti.
Ini adalah kerana itu hidup agak sukar dari segi kewangan jadi datuk harus memilih pilihan yang terbaik untuk keluarga ketika itu.
Pengorbanan ibu saya dilihat sebagai sesuatu yang membanggakan apabila adiknya berjaya tamat pengajian di universiti, mampu menyara keluarganya sendiri juga membantu keluarga bapanya untuk keluar dari kancah kemiskinan.
Namun kini keadaan telah berubah apabila wanita juga dilayan sama seperti lelaki, diberikan peluang pembelajaran yang sama seperti lelaki.
Kemudian kita melihat wanita Malaysia sama berganding bahu dengan lelaki bekerja di luar rumah mencari rezeki untuk keluarga juga mengembangkan kerjaya.
Wanita kini memegang jawatan-jawatan besar dan penting dalam kerajaan juga swasta tidak kira bangsa.
Ada wanita yang sanggup berhenti kerja demi keluarga apabila anak masih kecil tetapi lumrah wanita Malaysia tidak pandai duduk diam dan harus dipuji atas produktifnya.
Mereka membantu meringankan beban ekonomi keluarga dengan menjual goreng pisang atau nasi lemak di tepi jalan juga sekarang ini menjual pelbagai barangan secara atas talian.
Oleh itu saya faham mengapa suri rumah agak sentap apabila peniaga wanita atas talian yang berjaya menyindir mengapa harus mengharap duit suami apabila anda boleh kerja sendiri.
Masyarakat Malaysia dilihat masih menghormati dan melayan mesra ketua keluarga dengan menghidangkan makanan dan sebagainya.
Oleh itu saya kira bukanlah menjadi hal besar apabila terma ketua keluarga apabila masing-masing tahu tugas dan peranan masing-masing dalam keluarga, iaitu lelaki untuk menyara keluarga dan wanita untuk membantu menguruskan hal ehwal rumah tangga.
Hal remeh temeh sebagai contoh perincian jenama atau spesifikasi barangan runcit biasanya lebih diketahui wanita berbanding lelaki yang sering mengganggap tidak endah, dan hanya mengeluarkan duit di poket sahaja lalu menyerahkan pada isteri untuk pembayaran setelah seharian penat bekerja.
Wanita di Malaysia juga dilihat banyak berdikari berbanding wanita seperti di Arab Saudi juga di Turki.
Mungkin juga masih ramai wanita di luar sana yang kurang ada lesen kereta atau motor berbanding lelaki, saya fikir langkah keraajaan itu menepati adat resam negara kita.
Saya kira kajian sosial untuk hal sebegini harus dijalankan penyelidik sosial bagi mengenal pasti isu permasalahan, budaya juga penyelesaian isu sosial begini jika perlu.
Ketiga ialah isu pemisahan sosial antara lelaki dan perempuan yang bukan merupakan isu besar di barat kerana terdapat percampuran yang bebas antara kedua jantina asalkan masing-masing menghormati antara satu sama lain.
Manakala di Asia khususnya negara Islam terdapat pemisahan sosial yang jelas antara lelaki dan perempuan.
Budaya ini dilihat bukan mengongkong tetapi lebih ke arah mengekang gejala sosial pergaulan bebas lelaki perempuan.
Tetapi agama Islam secara dasarnya tidak menyekat wanita malah memberi kemuliaan kepada wanita dengan menjadikan suami, bapa atau adik lelaki atas abang sebagai wali kepada wanita.
Dengan ini mengurangkan beban atas bahu wanita. Namun secara kebiasaannya di Malaysia wanita bebas bekerja dan bergerak terutamanya bagi wanita bujang dan juga ibu tunggal yang sudah tiada suami akibat bercerai atau kematian.
Isu keempat ialah samada ada mana-mana undang-undang sivil yang meletakkan kategori lelaki sebagai ketua keluarga.
Menurut pengamatan dan penelitian penulis secara umum adalah memang tidak ada setakat ini. Penulis juga tidak pasti adakah terdapat undang-undang yang sama di barat pula.
Oleh itu jika tiada undang-undang yang tersurat maka yang terpakai adalah adat dan kebiasaan setempat iaitu lelaki menjadi ketua keluarga pada kebiasaannya.
Isu kelima ialah masalah jantina yang tidak habis diperdebatkan sejak bertahun-tahun lamanya akibat diskriminasi jantina dan tuntutan golongan liberalisi wanita agar diberi hak yang sama seperti lelaki.
Penulis berasa isu remeh jantina yang berkisarkan peranan dan tanggungjawab ini tidak perlu selagi mana-mana jantina pun menghormati satu sama lain dan menjalankan peranan efektif masing-masing.
Ini selaras dengan pendapat penulis bahawa jika lelaki menjadi ketua keluarga, ini bukanlah satu diskriminasi jantina, malah satu keadilan,iaitu meletakkan sesuatu pada tempat yang betul.
Apa yang boleh disarankan bagi mengurangkan kekeliruan juga kekacauan terma ini ialah agar terma ketua keluarga diperincikan kepada suami atau bapa atau abang atau adik lelaki sesebuah keluarga yang mampu dan berupaya.
Jika tiada maka beban dan tanggungjawab jatuh kepada yang perempuan pula jadi tiada isu diskriminasi jantina di sini.
Oleh itu penulis menyambut baik langkah kerajaan untuk menghadkan pergerakan rakyat keluar membeli belah dengan membenarkan seorang sahaja iaitu ketua keluarga keluar dalam satu masa atau boleh ditahan polis atau tentera.
Namun secara tidak bertulis, penulis kira pihak pasar raya juga polis tentera juga kerajaan sedar dan faham bukan semua lelaki akan keluar jika tiada lelaki sebagai ketua keluarga dalam rumah tangga tersebut, maka wanita juga dibenarkan keluar.
Malaysia adalah sebuah negara yang agak liberal tidak seperti negara Arab Saudi yang hanya membenarkan wanita keluar hanya dengan ditemani mahram sahaja.
Namun akhir-akhir ini Arab Saudi dilihat melonggarkan sekatan dengan membenarkan wanita Arab Saudi memandu juga, tidak seperti sebelum ini.
Penulis berharap ketua keluarga juga kerajaan Malaysia tidak melenting dengan kritikan sinis juga pedas Britain dan medianya terhadap Malaysia. Ini bukanlah kali pertama, malah beberapa kali berlaku.
Britain sebagai sebuah negara juga medianya bukan sahaja sinis dan kritikal terhadap adat budaya dan polisi negara lain, malah juga terhadap rakyat dan pemerintah negaranya sendiri atas prinsip kebebasan bersuara.
Semoga Malaysia sebagai sebuah negara berjaya dalam langkah-langkah pencegahan juga penularan wabak virus COVID-19 ini, tanpa mempedulikan acuan dan apa kata orang lain.
* Dr. Hjh.Noor Dzuhaidah Osman adalah Pensyarah Kanan (Undang-Undang Biokeselamatan), Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#adat resam
#agama
#Arab Saudi
#barat
#budaya
#COVID19
#gejala sosial
#hierarki sosial
#Ketua Keluarga
#lelaki
#pendidikan
#penyelidik sosial
#perkahwinan
#rakyat Malaysia
#sekatan
#syariah
#undang-undang
#wanita