COVID-19: Semua sekolah dalam zon merah di daerah Petaling diarah tutup bermula esok

Faris Danial Razi
Oktober 11, 2020 19:14 MYT
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan media pada Ahad memaklumkan, sekolah yang terlibat termasuk sekolah swasta. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua 298 sekolah yang berada dalam kawasan zon merah COVID-19 di Petaling, Selangor diarah tutup selama dua minggu bermula esok.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan media pada Ahad memaklumkan, sekolah yang terlibat termasuk sekolah swasta.
“Ini melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling.
“Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu bagaimanapun menyebut, pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
“Keperluan makan dan minum pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.
“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid,” tambah KPM lagi.
Kenyataan itu juga menyebut, sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.
“KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.
“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa," tambah kementerian itu.
Berikut merupakan senarai sekolah yang ditutup:
#sekolah tutup #daerah Petaling #zon merah #Kementerian Kesihatan #KKM #Kementerian Pendidikan #KPM #sekolah #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara #petaling redzone
;