COVID-19: Semua petugas, banduan Penjara Reman Pulau Pinang jalani saringan

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 7, 2020 16:04 MYT
Semua petugas penjara dan banduan kontak rapat dengan banduan lelaki meninggal dunia itu juga telah dikuarantin serta diasingkan daripada mereka yang lain. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Semua petugas dan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang menjalani ujian saringan COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan seorang banduan di situ meninggal dunia kerana dijangkiti penyakit tersebut.
Pengarahnya Mohamed Jusoh Ismail berkata, setakat ini, pihaknya telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan pendemik COVID-19 di penjara itu.
Beliau berkata, semua petugas penjara dan banduan kontak rapat dengan banduan lelaki meninggal dunia itu juga telah dikuarantin serta diasingkan daripada mereka yang lain.
Namun, beliau enggan mendedahkan jumlah kontak rapat yang sedang dikuarantin ketika ini.
"Saya tidak boleh maklumkan jumlah mereka yang diasingkan cuma saya boleh beritahu memang ada petugas dan banduan yang kontak rapat dengan si mati telah dikuarantin malah turut menjalani ujian saringan COVID-19 oleh petugas (KKM) sejak semalam.
"Hari ini ada lagi petugas dan banduan yang menjalani ujian saringan COVID-19 di dalam penjara malah pengarah hospital Pulau Pinang turut hadir untuk membuat pemantauan di dalam penjara," katanya hari ini.
Mohamed Jusoh berkata setakat ini mereka yang dikuarantin tidak menunjukkan gelaja malah banduan atau petugas yang tidak diasingkan juga dalam keadaan baik serta tidak menunjukkan sebarang gejala.
Katanya ketika ini terdapat kira-kira 2,300 banduan dan 320 kakitangan di Penjara Reman Pulau Pinang.
"Setakat ini pihak KKM belum memaklumkan banduan yang meninggal dunia itu mendapat jangkitan COVID-19 daripada mana.
" Tapi berdasarkan maklumat penjara, kali terakhir si mati keluar daripada penjara ialah pada 9 September lalu dan tiada lagi selepas itu," katanya.
Sementara itu, tinjauan di kawasan pintu masuk Penjara Reman disitu mendapati terdapat pergerakan masuk dan keluar kenderaan KKM termasuk kereta yang membawa Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr. Asmayani Khalid.
Difahamkan petugas kesihatan mula masuk ke dalam penjara bermula jam 9 pagi bagi membuat ujian saringan COVID-19 kepada petugas dan banduan di situ.
Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 85 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, warga emas tersebut turut mempunyai penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.
#kes COVID penjara Pulau Pinang #Penjara Reman Pulau Pinang #banduan meninggal dunia COVID #penjara #ujian saringan #koronavirus #warga emas #Kementerian Kesihatan #Noor Hisham Abdullah #meninggal dunia
;