COVID-19: Semua penjaja di Pasar Sentral Sibu akan disaring

Astro Awani
Februari 16, 2021 17:06 MYT
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Peniaga Kecil dan Pasar MPS, Albert Tiang, 317 golongan terlibat telah menjalani ujian tersebut pada Isnin. - Gambar fail/BERNAMA
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mensasarkan semua penjaja dan peniaga di Pasar Sentral Sibu untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dalam waktu terdekat.
Ia susulan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan golongan tersebut di sana.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Peniaga Kecil dan Pasar MPS, Albert Tiang, 317 golongan terlibat telah menjalani ujian tersebut pada Isnin.
Tambahnya MPS juga akan melakukan ujian saringan setiap hari dengan sasaran 300 penjaja dan peniaga di pasar itu sehingga kesemua mereka selesai disaring.
“Mereka ini terdiri daripada penjaja pasar tamu, penjual daging, peniaga sayur dan ikan serta peniaga makanan dan minuman.
“Keutamaan kita adalah kesihatan dan keselamatan peniaga, penjaja dan juga orang ramai," katanya.
Ujarnya untuk hari ini, saringan melibatkan sebahagian peniaga yang menjual makanan dan minuman, penjual kerang dan ketam, peniaga cenderamata dan barangan runcit.
Pasar Sentral Sibu yang menempatkan lebih 1,100 penjaja dan peniaga akan ditutup sehingga 19 Februari 2021 selepas berlaku peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan golongan itu di sana.
Penutupan pasar terbesar di bawah satu bumbung itu dibuat selepas mendapat laporan daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu berhubung peningkatan kes.
#Pasar Sentral Sibu #COVID-19 di Sibu #COVID-19 di Sarawak #kluster aktif di Sibu #Majlis Perbandaran Sibu #Kluster Pasai di Sibu
;