COVID-19: Sektor peruncitan alami penurunan jualan 90 peratus - MRA
Fauzi Suhaimi
Mac 26, 2020 12:19 MYT
Mac 26, 2020 12:19 MYT
Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) menjangkakan sektor peruncitan mengalami penurunan jualan sebanyak 90 peratus menjelang hujung bulan ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
Presiden MRA, James Loke berkata, ini kerana sektor peruncitan sehingga kini sudah mengalami penurunan jualan sebanyak 60 peratus sejak Februari lalu.
Sehubungan itu, katanya, MRA menyeru agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada semua peruncit khususnya dalam tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.
"Banyak perniagaan runcit terjejas dan mengalami kerugian mendadak dalam tempoh PKP ini dan ia lebih merisaukan kami apabila tempoh ini dilanjutkan sehingga pertengahan April depan.
"Jika isu ini tidak dipandang serius, bagaimana perniagaan ini akan bertahan sedangkan mereka juga dibebankan dengan tanggungan lain seperti sewa dan gaji pekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, James berkata, pihaknya tidak menolak akan ada pemberhentian pekerja jika sektor ini terus berdepan dengan penurunan aliran tunai dalam jangka masa panjang.
"Kami harap agar kerajaan dapat menyokong dengan menyalurkan dana khas kepada sektor ini selain meminta kerjasama pemilik pusat beli belah untuk memberikan sewa percuma dalam tempoh PKP.
"Ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami dalam mendepani cabaran COVID-19 dan kami tetap menyokong usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan virus ini," jelasnya.
#COVID-19
#kerajaan
#koronavirus
#Malaysia
#mra
#persatuan peruncitan malaysia
#peruncitan
#presiden