COVID-19: Sekolah berasrama paling tinggi kluster jangkitan COVID-19
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 20, 2022 18:22 MYT
Januari 20, 2022 18:22 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa faktor kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikenal pasti menyebabkan berlakunya peningkatan kluster membabitkan institusi pendidikan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang medianya berkata, kegagalan pematuhan itu berlaku semasa dan di luar waktu persekolahan formal, terutamanya di asrama.
“Dari minggu pertama tahun ini hingga 19 Januari, terdapat sejumlah 52 kluster pendidikan melibatkan 30 kluster sekolah menengah. Daripada 30 sekolah menengah tersebut, 27 buah (90 peratus) adalah sekolah berasrama,” jelasnya dalam seidang media hari ini.
Pembukaan sesi persekolah juga katanya telah menyebabkan wujudnya 15 kluster yang disebabkan jangkitan COVID-19.
“Pada minggu kedua persekolahan, bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 kluster. Semua negeri ada melaporkan kluster kecuali Perlis, Terengganu, Sarawak dan Labuan. Bagi 52 kluster pendidikan yang telah dilaporkan sejak minggu pertama, siasatan telah mendapati 44 kluster dengan kes indeksnya adalah pelajar,” jelasnya lagi.
Manakala indeks kes melibatkan guru dan juga pensyarah, katanya, berjumlah lima kluster.
Justeru Khairy mengingatkan, isu membabitkan pematuhan SOP akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Saya pun sudah bincang tadi dengan Menteri Pendidikan dan kami telah setuju untuk memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah asrama untuk memastikan kluster ini tidak bertambah nanti. Tetapi mungkin ini adalah kerana mereka baharu sahaja masuk ke sekolah semula," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, setakat ini tiada keperluan untuk menutup sesi persekolahan melibatkan sekolah-sekolah berasrama.