COVID-19: Sekolah Antarabangsa St. Joseph Kuching ditutup tujuh hari
Nuzuluddin Abdul Razak
November 1, 2020 16:34 MYT
November 1, 2020 16:34 MYT
KUCHING: Sekolah Antarabangsa St.Joseph ditutup tujuh hari bermula hari ini, 1 November sehingga 7 November 2020 susulan pengesahan kes COVID-19 melibatkan seorang pelajar.
Dalam satu kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) St.Joseph Private School Management Berhad, Christopher Chua, pelajar berkenaan telah disahkan positif COVID-19 selepas dijangkiti daripada ibunya.
Justeru pihak lembaga sekolah telah segera memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Jawatankuasan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengenai langkah susulan yang perlu diambil.
“Pihak sekolah sedang bekerjasama dengan erat bersama pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya”,
“Pihak sekolah dinasihatkan oleh JKN untuk tidak mendedahkan maklumat tertentu, nama dan kelas pelajar tersebut”, jelasnya dalam kenyataan berkenaan.
“Kita telah memindahkan pusat peperiksaan untuk International General Certificate of Secondary Education (IGSE) dan A-Level ke Sekolah Menengah Persendirian St Joseph”,
“Pemindahan itu boleh dilakukan kerana pelajar yang positif tersebut tidak mempunyai sebarang kontak dengan para pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut”.
Untuk rekod, sejumlah 212 institusi pendidikan di Daerah Kuching telah diarahkan tutup oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula 30 Oktober 2020 sehingga 13 November 2020 susulan pengisytiharaan Kuching sebagai Zon Merah COVID-19.
#COVID-19
#Kuching
#Sarawak
#sekolah
#tutup
#St Joseph
#sekolah antarabangsa
#kesihatan
#Kementerian Pendidikan
#pendidikan
#peperiksaan
#JPBN