COVID-19: Sekolah Agama Taman Cempaka, Sekolah Agama Kempas ditutup seminggu
Bernama
Oktober 25, 2020 16:48 MYT
Oktober 25, 2020 16:48 MYT
JOHOR BAHRU: Sekolah Agama Taman Cempaka dan Sekolah Agama Kempas di bandar raya ini diarah tutup selama seminggu mulai hari ini sehingga 31 Oktober susulan kes terbaharu COVID-19 di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata penutupan kedua-dua sekolah berkenaan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sebuah sekolah ditutup berikutan seorang murid darjah khas disyaki terkena jangkitan daripada ibunya yang positif COVID-19. Murid berkenaan telah menjalani ujian swab dan sedang menunggu keputusan ujian manakala sebuah lagi sekolah disaran tutup oleh KKM," katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.
Beliau berkata penutupan Sekolah Agama Taman Cempaka membabitkan seramai 1,072 murid dan 17 guru manakala Sekolah Agama Kempas membabitkan 1,790 murid dan 26 guru.
Sementara itu di KOTA BHARU, Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua surau dan masjid di seluruh negeri Kelantan menangguhkan aktiviti kuliah-kuliah agama, berkuat kuasa serta merta hari ini.
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penangguhan sehingga 27 Oktober itu termasuk kuliah Subuh, kuliah Maghrib, kuliah Dhuha dan kuliah-kuliah lain dan juga kelas-kelas al-Quran.
Beliau berkata perkara itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang juga sebagai Ketua Agama Islam mengikut peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan kuliah-kuliah agama di masjid seluruh negeri ini.
"Tindakan ini diambil memandangkan berlaku peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan sejak akhir-akhir ini. Bagaimanapun, solat fardhu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
-- BERNAMA
#Sekolah Agama Taman Cempaka
#Sekolah Agama Kempas
#ditutup
#COVID-19
#Johor Bahru
#tosrin jarvanthi
#KKM
#ibu positif covid-19
#MAIK
#Kelantan
#kuliah agama ditangguh