COVID-19: Sebuah lagi sekolah di P. Pinang, SK Seri Sentosa di tutup seminggu
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 20, 2020 18:00 MYT
Oktober 20, 2020 18:00 MYT
NIBONG TEBAL: Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa di Nibong Tebal, Pulau Pinang ditutup selama seminggu mulai hari ini selepas seorang daripada murid sekolah itu didapati positif COVID-19.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, Jabatan Pendidikan Negeri(JPN) mengeluarkan arahan tersebut bagi mengelak berlaku penularan di kalangan murid dan guru di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, sekolah berkenaan ditutup mulai hari ini sehingga 26 Oktober bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan di seluruh kawasan sekolah berkenaan.
"Setakat ini, hanya seorang murid disahkan positif tetapi pihak JPN dan sekolah telah mengambil langkah segera dengan meminta semua murid tidak hadir ke sekolah sebaik mendapat tahu mengenai kes tersebut.
"Semua guru juga hanya dibenarkan bekerja di rumah sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan JPN," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut Abd Rashid, ketika ini pihak berkaitan sedang melakukan pengesanan kontak dalam kalangan guru, murid serta kakitangan sekolah yang terlibat.
“Pengesanan kontak sedang dilakukan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja-kerja nyah cemar dan sanitasi dijalankan," katanya lagi.
Pada 1 Oktober lepas, SK Permatang Janggus di Kepala Batas, Pulau Pinang ditutup selama lapan hari selepas seorang guru wanita yang juga isteri kepada seorang pemimpin politik di Kedah positif COVID-19.
#sekolah tutup
#Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa
#murid positif COVID-19
#Nibong Tebal
#COVID-19
#kerja sanitasi
#pulau pinang