COVID-19: Sebar berita palsu, bekas operator kilang didenda RM2,000

Shuhada Abdul Kadir
Julai 23, 2021 12:50 MYT
Nur Anati Kamarudin, 28 tahun, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. - Astro AWANI
AYER KEROH: Padah memuat naik berita palsu berkaitan jangkitan kes COVID-19, seorang wanita didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini mengikut Ordinan Darurat.
Tertuduh Nur Anati Kamarudin, 28 tahun, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Tertuduh yang merupakan bekas operator kilang itu merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Ordinan Darurat di negeri ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan akaun aplikasi Twitter miliknya menyebarkan berita tidak benar berkaitan jangkitan COVID-19 di kilang tempatnya bekerja, dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Ap 3, Taman Ara Permai, Batu Berendam, Melaka Tengah kira-kira jam 9 pagi, 3 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang boleh didenda maksimum RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali serta denda selanjutnya maksimum RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pengarah endakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira isu penyebaran berita palsu adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman yang ringan memandangkan dia yang sebelum ini bekerja sebagai operator kilang dibuang kerja selepas insiden kenyataan dibuatnya tular di laman sosial, selain perlu menanggung ibu dan bapanya.
Elesebat pada penghakimannya kemudian menetapkan denda RM2,000 serta empat bulan penjara sekiranya wanita itu gagal melunaskan jumlah denda.
#COVID-19 #berita palsu #Ordinan Darurat #denda #kilang
;