COVID-19: Satu lagi kluster baru dikesan, kali ini di Johor
Ridauddin Daud
September 25, 2020 18:46 MYT
September 25, 2020 18:46 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu kluster baru terpencil telah dikenal pasti di Johor dinamakan Kluster Orkim, melibatkan kru kapal yang berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kes pertama daripada kluster itu merupakan salah seorang kru kapal yang merupakan warganegara Indonesia.
“Pesakit mula bergejala demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah sejak 13 September 2020 namun tidak memaklumkan kepada majikan dan hanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 22 September 2020.
“Seterusnya dia dirujuk ke Hospital Permai, Johor pada 23 September 2020 di mana dia didapati positif COVID-19 dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.
“Hasil saringan krew kapal yang lain mendapati satu lagi kes positif yang juga merupakan warganegara Indonesia. Kes positif kedua ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke hospital yang sama, “ katanya.
Tambah beliau, seramai 30 krew kapal yang bertugas dalam kapal itu telah disaring dengan dua disahkan positif, 24 orang negatif manakala empat lagi masih menunggu keputusan.
“Langkah pencegahan, kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kapal tersebut.
“Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Hospital
#Hospital Permai
#Indonesia
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#kluster baru
#koronavirus
#Malaysia
#Noor Hisham Abdullah
#Orkim