COVID-19: Satu lagi kluster baharu dikesan babitkan pelajar Malaysia dari Temboro

Fareez Azman, Hasimi Muhamad
April 19, 2020 17:53 MYT
Temboro merupakan salah satu kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan rakyat negara ini yang pulang dari Indonesia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut membabitkan 43 pelajar yang pulang dari Temboro melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.
Temboro merupakan salah satu kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.
"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 34 orang telah dikuarantin di negeri Melaka dan sembilan orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
BACA: COVID-19: 95 kes pulih, satu kematian dan 84 kes baharu
"Ini menunjukkan bahawa tindakan kerajaan untuk mengambil langkah untuk kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah bertepatan.
"Ini bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk Malaysia," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.
Jelasnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif membabitkan mereka yang pulang dari luar negara adalah 65 kes, dengan sebanyak 8,401 sampel telah diambil setakat ini.
Selain kes import dari Jawa Timur, KKM juga jelasnya telah mengesan tiga kes dari Acheh, Indonesia dan masing-masing satu kes dari Turki dan Kalimantan, Indonesia.
Tambah Dr Noor Hisham, tindakan kuarantin itu diambil untuk memastikan tiada kes import COVID-19 berlaku kepada rakyat di negara.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Indonesia #Kementerian Kesihatan #KLIA #Lapangan Terbang Kuala Lumpur #Magetan #Noor Hisham Abdullah #Temboro
;