COVID-19: Satu lagi kluster baharu dikesan, 21 kes positif
Hasimi Muhamad
Mei 23, 2020 17:33 MYT
Mei 23, 2020 17:33 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan satu lagi kluster baharu dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengesan 21 kes positif membabitkan kluster tersebut.
“Kita telah mengambil 1,752 sampel dan orang mereka yang telah ditahan adalah 1,631 sementara kakitangan adalah 161 orang.
“Kes yang positif adalah 21 kes, sementara yang lain kita masih menunggu keputusan.
“Apa yang kita lihat sekarang ini tempat yang berisko tinggi bukan hanya di depot tahanan imigresen, (sebaliknya) penjara juga salah satu tempat yang berisiko tinggi kalau ada perhimpunan di ruang yang sempit,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata beberapa kluster lain turut menunjukkan pertambahan kes COVID-19 setakat Sabtu.
“kluster Pedas ada pertambahan satu kes menjadikan 163 kes, kluster tapak pembinaan Setia Alam juga ada pertambahan satu kes menjadikan 13 kes,” katanya dalam sidang media harian, di sini.
Bagaimanapun, 31 kluster lain tidak menunjukkan sebarang pertambahan kes setakat ini.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#KKM
#Kluster baharu
#koronavirus
#Noor Hisham Abdullah
#perhimpunan
#Setia Alam