COVID-19: Satu kes varian Delta dikesan di Sibu libatkan PATI dari Indonesia

Azizah Alwi
Julai 21, 2021 12:05 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu mendedahkan satu kes melibatkan varian Delta yang dikesan di bahagian itu adalah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia.
Penyelaras JPBB Sibu, Dr Annuar Rapaee berkata, kes tiba ke Sarawak pada 5 Julai lalu dan dirujuk ke Hospital Sibu pada 7 Julai selepas mempunyai simptom.
"Saringan awal menunjukkan kes dijangkiti varian Delta COVID-19 dan sample dihantar ke Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti (IHCM) UNIMAS pada 12 Julai untuk pengesanan serta pengesahan," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
BACA: 76 lagi kes baharu varian Delta dikesan di Sarawak
Jelas Dr Annuar lagi, seorang lagi PATI yang merupakan kontak rapat didapati negatif virus itu.
Bagaimanapun katanya, individu terbabit dirujuk dan perlu menjalani kuarantin ke pusat kuatantin selama 21 hari selain menyerahkan kes itu kepada pihak polis.
Sehubungan itu, Dr Annuar menggesa penduduk Sibu agar sentiasa berwaspada dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
#JPBB Sibu #Sibu #Dr Annuar Rapaee #Varian Delta #COVID-19 #pati #Indonesia