COVID-19: Satu kes positif, kluster pekerja asing dikesan di Sarawak

Astro Awani
Jun 9, 2020 11:41 MYT
Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kanan) dalam sidang media harian COVID-19 JPBNS - Foto: Astro AWANI
Satu kes positif COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini melibatkan satu kluster baharu iaitu pekerja asing.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes positif berkenaan melibatkan warganegara Indonesia yang dikesan melalui kontak rapat kepada kes positif yang dilaporkan pada 7 Jun lepas.
"Ini adalah satu kluster baru iaitu kluster pekerja asing di Sarawak.
"Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan melakukan pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan tapak pembinaan Jalan Keretapi dan tempat kediaman mereka di Sungai Moyan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, pada Selasa.
Kes berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak setakat Selasa adalah 556 kes.
Uggah berkata, JPBNS akan mengambil tindakan tegas kepada majikan yang disyaki menyeludup masuk warganegara asing ke Sarawak.
"Kita amat kecewa, walaupun belum ada bukti jelas tetapi ada pendatang tanpa izin datang ke negeri ini dan kita memberi amaran kepada majikan yang mengambil pekerja pendatang tanpa izin ini.
"Pihak polis, Imigresen, Unit Keselamatan Negeri dan Jabatan Kesihatan akan mengkaji perkara ini dengan lebih tegas serta agresif dalam pemantauan kepada punca masalah ini," tegasnya.
Sementara itu jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang sembuh dan discaj kekal 525 orang atau 94.42 peratus.
Manakala 62 kes Orang Yang Disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan empat kes masih menunggu ujian makmal.
#COVID-19 #Douglas Uggah #Imigresen #Indonesia #JPBNS #keselamatan #Ketua Menteri #koronavirus #pekerja asing #positif #Sarawak