COVID-19: Satu kes baharu di Sarawak, ini lima perkara penting daripada JPBNS

Nazim Chee
Oktober 22, 2020 09:51 MYT
Sembilan kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak hari ini. - Foto FACEBOOK/ Sarawak General Hospital
KUALA LUMPUR: Selepas tiada kes direkodkan semalam, Sarawak hari ini mencatat satu kes positif COVID-19. Ini menjadikan kes keseluruhan di Sarawak sehingga hari ini berjumlah 770 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan medianya pada Khamis memaklumkan kes ke-770 ini dikesan di Daerah Kuching melibatkan jangkitan tempatan.
Berikut lima perkara dalam kenyataan media berkenaan yang perlu anda tahu:
1. Kes COVID-19 baharu
Kes adalah seorang warga emas warganegara tempatan yang telah dikesan melalui saringan semasa kemasukkan ke hospital.
Kes indeks kepada kes ini adalah kes ke-768 yang telah dikesan pada 18 Oktober 2020 melalui saringan bergejala.
Ujian swab rT-PCR COVID-19 pada hari ini mengesahkan kes positif COVID-19.
Kes mempunyai sejarah penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kandungan lipid darah yang tidak normal (dyslipidemia).
2. Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching
Tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan melibatkan kluster ini.
Jumlah kes positif kekal 12 orang termasuk kes indeks.
Sehingga 12:00 tengah hari tadi, empat kes yang melibatkan kluster ini telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.
Lapan kes lagi masih menerima rawatan di wad pengasingandi hospital dan berada di dalam keadaan stabil.
3. Kluster Putra di Daerah Bintulu.
Tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan melibatkan kluster ini.
Jumlah kes positif melibatkan kluster ini kekal seramai enam orang termasuk kes indeks.
Satu kes positif COVID-19 telah dikesan dan didaftarkan di Negeri Selangor.
4. Kes pulih dan dibenar discaj
Terdapat sembilan kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. Kesemua kes ini adalah dari Hospital Umum Sarawak.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj berjumlah 718 orang atau 93.25% daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.
5. Tiada kes kematian
Hari ini tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.47%.
Selain itu tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes Individu Dalam Siasatan (PUI) dilaporkan
#COVID-19 #Sarawak #Kuching #Bintulu #ICU #jumlah kematian #kes positif #unit rawatan rapi #warga emas #siasatan #Media