COVID-19: Saringan besar-besaran bukan jalan terbaik, percepat vaksinasi - Pakar
Rahimah Abdullah
Jun 3, 2021 13:25 MYT
Jun 3, 2021 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Proses saringan besar-besaran ke atas kumpulan berisiko bukan jalan terbaik untuk mengatasi masalah varian baharu COVID-19 di Malaysia.
Sebaliknya, kata pakar kesihatan awam Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, negara perlu memberi tumpuan serius kepada usaha mempercepatkan program vaksinasi kepada rakyat.
Jelasnya, negara seperti Vietnam melakukan saringan besar-besaran disebabkan kesnya yang lebih rendah berbanding di Malaysia.
"Di Malaysia, mungkin saringan besar-besaran bagi mengatasi masalah varian bukan jalan yang terbaik. Jalan yang terbaik ialah mempercepatkan vaksinasi.
"Sebab, kes kita terlalu tinggi. Kalau kita lakukan mass testing, tidak akan ada tindakan yang diambil. Jadi, langkah yang perlu ialah memberi tumpuan serius supaya kita mempercepatkan vaksin," katanya.
Bercakap kepada Astro AWANI melalui aplikasi Skype hari ini, beliau berkata, Malaysia perlu mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar mempercepatkan program vaksinasi.
Dalam pada itu, kerajaan juga disaran supaya sentiasa melakukan sesuatu tindakan berdasarkan nasihat dan bukti yang jelas daripada pakar kesihatan mengenai usaha menangani COVID-19.
Tegas Syed Mohamed Aljunid, sesuatu tindakan yang tidak jelas hanya akan merugikan negara.
"Jangan kita lakukan sesuatu tanpa bukti dan tanpa nasihat terlibat. Itu akan merugikan.
"Misalnya kita lihat baru-baru ini, sanitasi bangunan dan sebagainya. Jelas ia tidak berkesan berbanding cadangan-cadangan WHO.
"Jadi, kenapa pembaziran dilakukan? Kita tahu mereka berusaha, tetapi koordinasi perlu dilakukan dan tindakan dilakukan dengan bukti yang jelas," tambahnya.
#Astro
#Astro Awani
#WHO
#Vietnam
#Malaysia
#COVID-19
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#program vaksinasi
#vaksin
#varian
#varian baharu