COVID-19: Sarawak, wanita, warga emas, paling tinggi amal pencegahan - Kajian
Harits Asyraf Hasnan
April 7, 2020 11:37 MYT
April 7, 2020 11:37 MYT
Penduduk di negeri Sarawak merekodkan amalan pencegahan COVID-19 tertinggi berbanding negeri-negeri lain di negara ini.
Sementara itu, Pulau Pinang menjadi negeri terendah yang merekodkan amalan pencegahan wabak tersebut dalam kalangan rakyatnya.
Dapatan tersebut merupakan hasil kajian yang diketuai Dr Abdul Rauf Ridzuan dari kumpulan Health Communication (HealthComm) UiTM Cawangan Melaka.
Ia turut melibatkan kumpulan Quality Use of Medicines in Umrah and Hajj Pilgrimage Research Group (QUMPRG) Taibah University, Madinah, Arab Saudi dengan usahasama Astro Awani dan RTM.
“Penduduk Sarawak mempunyai kesedaran tertinggi dalam amalan pencegahan wabak ini, seiring dengan negeri itu merekodkan kes kematian tertinggi buat masa ini,” kata Abdul Rauf.
Bercakap kepada Astro AWANI ketika dihubungi, beliau berkata, selain itu, individu berusia 51 tahun ke atas didapati mempunyai kesedaran dan amalan pencegahan tertinggi di negara ini.
“Dari segi peringkat umur, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kes kematian tertinggi melibatkan mereka yang berumur 51 tahun ke atas.
“Hasil kajian jelas menunjukkan warga emas 51 tahun ke atas lebih mengamalkan amalan pencegahan, berbanding peringkat umur yang lain, untuk lebih berwaspada,” ujarnya.
Malah, golongan wanita juga merekodkan amalan pencegahan tertinggi, terutama para suri rumah.
Selain itu, mereka yang keluar membeli barangan keperluan harian juga mengamalkan pencegahan dengan memakai topeng mulut dan hidung, selain selain menggunakan cecair nyah kuman.
Bagaimanapun, bilangan mereka yang memakai sarung tangan ketika membeli barangan keperluan masih rendah.
Menurut Abdul Rauf, kajian yang melibatkan 1,230 responden dari seluruh Malaysia itu secara keseluruhan menunjukkan 82.5 peratus responden mengikuti amalan pencegahan sewajarnya.
“Secara keseluruhan, InsyaAllah kita lihat ada sikap yang positif dalam majoriti rakyat Malaysia. Jika diteruskan dengan amalan ini, InsyaAllah kita dapat membendung wabak ini.
“Walaupun amalan pencegahan adalah tinggi di kalangan rakyat Malaysia, namun disebabkan segelintir yang kurang peka dalam mengamalkannya, boleh menyebabkan penyakit ini terus merebak,” ujarnya.
#COVID-19
#Kajian amalan pencegahan COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#Kesedaran
#mencegah COVID-19
#pencegahan
#rakyat Malaysia
#tahap pencegahan
#UiTM