COVID-19: Sarawak terima peruntukan RM57 juta daripada KKM

Fadilah Sulaiman
Januari 24, 2021 05:25 MYT
Dr Sim Kui Hian (kiri) melawat fasiliti makmal di Hospital Umum Sarawak bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM57 juta daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu negeri itu berdepan pandemik COVID-19.
Daripada jumlah berkenaan RM21 juta diperuntukkan bagi menaik taraf fasiliti, peralatan serta makmal hospital kerajaan di negeri ini dalam usaha meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata dengan peruntukan itu, Sarawak mampu menguji hingga 6,000 sampel sehari bagi mempercepatkan usaha melandaikan lengkuk jangkitan wabak berkenaan.
“Terima kasih KKM Kuala Lumpur kerana memberi peruntukan segera RM21 juta bagi menaik taraf fasiliti, peralatan dan reagen di pelbagai makmal hospital seluruh Sarawak untuk ujian RT-PCR memandangkan lonjakan kes baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan selepas membuat lawatan ke Hospital Umum Sarawak bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak
RM36 juta lagi dari KKM diperuntukkan bagi tambahan 29 katil ICU dan peralatan aksesori untuk hospital KKM di Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.
Sementara itu kerajaan negeri juga telah menyalurkan bantuan segera pembuatan makmal molekul, masing-masing berjumlah RM1 juta untuk bahagian Limbang dan Kapit bagi membolehkan ujian RT-PCR COVID19 dijalankan di hospital tempatan.
“Untuk meningkatkan kapasiti calitan RT-PCR dijalankan susulan merebaknya kes di Sibu, kerajaan Sarawak telah menanggung kos tersebut untuk diuji di UNIMAS, Borneo Medical Centre dan Gribbles Pathology Sdn Bhd,” jelas Dr Sim.
Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggas Embas telah mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengabaikan Sarawak dalam memerangi COVID-19.
Beliau meminta peruntukan tambahan bagi menangani kes yang semakin tinggi di negeri itu sejak Kluster Pasai direkodkan pada 9 Januari dan telah merebak di 19 daerah.
#COVID-19 #Sarawak #ujian saringan #Dr Sim Kui Hian #KKM #Kuala Lumpur #Sibu #Bintulu #Miri #Limbang #rT-PCR