COVID-19: Sarawak segera vaksin remaja bagi tingkatkan capaian vaksinasi - Dr Sim
Nuzuluddin Abdul Razak
September 25, 2021 13:20 MYT
September 25, 2021 13:20 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) tidak akan berlengah dalam memperkasakan usaha kerajaan negeri iuntuk meningkatkan capaian vaksinasi di negeri itu.
Penasihat JPBNS Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak kini sedang giat melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan para pelajar berusia 12 hingga 15 tahun bermula 23 September lalu.
Jelasnya, program imunisasi yang meliputi 192,800 pelajar sekolah rendah dan menengah itu dimulakan sebulan lebih awal daripada jadual asal selepas Sarawak menerima kembali vaksin jenis Pfizer BioNTech yang dipinjamkan kepada Sabah Ogos lalu.
“Kita sepatutnya memvaksin remaja berusia 12 hingga 15 tahun pada bulan depan seperti yang dijadualkan namun ianya diawalkan kerana Sabah terlebih awal telah memulangkan vaksin yang dipinjamkan oleh Sarawak.
“Kita tidak mahu vaksin itu sampai dan tidak digunakan maka JPBNS telah menganjak ke hadapan tarikh vaksinasi bagi golongan berkenaan dan segera melaksanakannya” katanya selepas menyampaikan peruntukan infrastruktur kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu 4, 1/2 di Kuching pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Sim turut menggesa mana-mana golongan remaja yang belum divaksin terutamanya yang berusia 16 dan 17 tahun untuk segera berbuat demikian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Walk-In yang berhampiran.
“Vaksinasi ini terbukti berkesan untuk meredakan tahap keterukan pesakit dan mengurangkan jumlah kematian, justeru itu melihat kepada kesan ini.
"Kita menyeru mereka yang berusia 16 dan 17 tahun untuk segera mendapatkan vaksin untuk melindungi diri anda, keluarga anda serta melindungi Sarawak,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak meminta rakyat negeri itu memahami polisi semasa yang diaplikasikan kerajaan negeri untuk mengendalikan isu COVID-19.
Ini termasuk keputusan JPBNS untuk membenarkan beberapa langkah kawalan dan pemantauan yang boleh dilakukan secara kendiri oleh masyarakat di negeri itu.
“Dengan adanya varian Delta, kita terpaksa menyesuaikan pendekatan dan polisi yang berbeza untuk mengendalikan isu COVID-19 pasca vaksinasi sesuai dengan kes kategori 1 dan 2 yang mencapai angka 99 peratus.
“Proses ini kelak akan membantu kita untuk hidup dengan vaksin ini, dan memudahkan kerajaan negeri membuka pelbagai sektor dengan lebih selamat yang mana memerlukan setiap individu untuk bekerjasama melakukan ujian saringan, penilaian dan pengasingan secara kendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya kerajaan negeri kemudian akan lebih fokus merawat pesakit kategori 3, 4, dan 5 yang memerlukan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta bantuan pernafasan.
Setakat Jumaat, Sarawak telah memberi vaksinasi lengkap kepada 64.9 daripada 2.8 juta populasi keseluruhan penduduk negeri itu.