COVID-19: Sarawak negeri pertama beri dos penggalak - Khairy

Umavathi Ramayah
September 26, 2021 13:42 MYT
Khairy bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Suntikan penggalak bagi vaksin COVID-19 akan mula diberikan pada bulan depan kepada penduduk Sarawak yang sudah menerima dua dos suntikan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dengan ini Sarawak akan menjadi negeri terawal yang akan diberi suntikan penggalak kepada penduduknya.
Menurutnya lagi, pada peringkat awal, dos penggalak itu akan diberikan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang serius.
"Kita dapati golongan ini yang mengalami gejala-gejala serius yang memerlukan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kemungkinan meninggal dunia.
"Kita akan mulakan Oktober ini sebaik sahaja garis panduan klinikal untuk dos penggalak siap," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, pada Ahad.
Sarawak negeri pertama terima dos penggalak pada Oktober depan.
Khairy bagaimanapun tidak menolak kemungkinan dos penggalak itu akan diberikan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat di masa akan datang.
"Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat boleh nanti diberikan dos penggalak tetapi fokus kita pada ketika ini adalah golongan berisiko tinggi yang lebih cenderung dimasukkan ke ICU dan meninggal.
"Di negara-negara lain juga amalannya sama, (dos penggalak) diberikan kepada warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi yang serius.
'Untuk keseluruhan populasi tak banyak negara yang luluskan atau tidak ada," ujarnya.
[TERKINI] Sidang Media Menteri Kesihatan di Sarawak | 26 Sept 2021
Malah beliau menjelaskan, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat sendiri meluluskan suntikan dos penggalak kepada individu yang berusia 65 tahun ke atas.
"Kita gunakan sumber yang ada pada ketika ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan dulu berbanding individu lain," tambahnhya lagi.
Sarawak merupakan antara negeri terawal yang bakal melengkapkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila 89.3 peratus daraipada populasi dewasanya telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, setakat Sabtu.
#unit rawatan rapi #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #warga emas #Khairy Jamaluddin #Amerika Syarikat #dos penggalak #Sarawak
;