COVID-19: Sarawak catat empat kematian, korban tertua berusia 95 tahun

Nazim Chee
Februari 5, 2021 10:45 MYT
Sarawak merekodkan 178 kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes itu di negeri berkenaan meningkat kepada 5,272 kes. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Empat lagi kematian akibat COVID-19 direkodkan Sarawak hari ini. Ia merupakan kes kematian tertinggi akibat virus ini sejak kes kematian pertama pada 17 Mac 2020.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan keempat-empat kematian ini direkodkan di Hospital Sibu.
Kes kematian tertua merupakan seorang lelaki warga emas tempatan berusia 95 tahun. Kes kematian ke-46 ini telah mendapat rawatan di Hospital Sibu selepas saringan ujian rT-PCR pada 28 Januari lalu mengesahkan kes positif COVID-19.
Keadaan kesihatannya merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Februari 2021.
Sementara itu kes kematian ke-45 juga melibatkan lelaki tempatan yang berusia 65 tahun.
Kes yang mengalami simptom sesak nafas, batuk, demam dan hidung berair sejak 28 Januari 2021 mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sibu pada 3 Februari lalu.
Pada tarikh sama kes disahkan positif COVID-19 sebelum menghembuskan nafas terakhir juga pada hari yang sama.
Kes mempunyai ko-morbid penyakit buah pinggang kronik, darah tinggi, gout dan dislipidemia.
Bagi kes kematian ke-47 melibatrkan seorang lelaki tempatan berumur 82 tahun telah dimasukan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam.
Saringan ujian rT-PCR yang dijalankan pada 26 Januari 2021 mengesahkan kes positif COVID-19.
Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Februari. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan strok.
Kes kematian ke-48 pula merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 79 tahun yang telah dimasukkan Hospital Sibu apabila ujian bagi saringan kontak rapat.
Kes disahkan positif selepas ujian rT-PCR kali kedua pada 3 Februari 2021.
Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 5 Februari 2021.
Kes mempunyai ko-morbid penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggan kronik dan juga sejarah strok.
Sementara itu kes baharu COVID-19 di Sarawak hari ini berjumlah 178 kes menjadikan jumlah kumulatif kes itu meningkat kepada 5,272 kes.
#COVID-19 #Sarawak #warga emas #meninggal dunia #Sibu #kes positif #lelaki #mangsa