COVID-19: Sampel air kumbahan penumpang pesawat dari China diuji
Bernama
Disember 30, 2022 18:53 MYT
Disember 30, 2022 18:53 MYT
KUALA LUMPUR: Survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mula melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari luar negara terutamanya negara-negara berisiko tinggi sejak Jun 2022.
Menerusi hantaran di Facebooknya, katanya, sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dn seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.
"Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula. Sekiranya disyaki COVID-19, ujian COVID-19 akan dijalankan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, tiada varian baharu COVID-19 dikesan di negara ini setakat ini.
"Setakat ini kebanyakan ujian positif adalah dari varian Omicron dan subtype BA5 dan BA2. Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan gejala.," katanya.
China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.
Semalam. Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian COVID-19 di negara itu reda.
-- BERNAMA