COVID-19: Sambut seruan kerajaan, NGO sumbang keperluan untuk barisan hadapan
Astro Awani
April 24, 2020 13:40 MYT
April 24, 2020 13:40 MYT
Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan lain untuk digunakan petugas barisan hadapan dalam menangani COVID-19.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Kasih Sayang (Aixin) Malaysia, Datin Fam Yuen Nee berkata, langkah itu penting dalam membantu memastikan bekalan peralatan terbabit tidak terputus buat masa ini.
"Kami bertindak segera mendapatkan bekalan PPE memandangkan keperluan untuk barangan ini amat tinggi ketika negara menghadapi wabak COVID-19.
“Selaras dengan slogan Aixin yang menerapkan kasih sayang sebagai arah tuju aktiviti kebajikan, amat penting untuk kami membantu barisan hadapan serta kerajaan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Sumbangan barangan kesihatan bernilai lebih RM1 juta untuk petugas barisan hadapan itu diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Putrajaya, pada Khamis.
Penyerahan dilakukan oleh Timbalan Pengerusi Aixin, Datuk Liu Han Ming dan turut dihadiri barisan kepimpinan NGO berkenaan.
Antara sumbangan adalah PPE, penutup hidung dan mulut, pelindung muka, pelindung mata, penutup rambut, sarung tangan, topeng muka N95, sarung kasut, topeng muka KM95, cecair pembasmi kuman dan pengukur suhu.
Pada 14 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 berkata, penggunaan PPE meningkat daripada dua hingga 10 kali ganda berbanding keadaan normal.
Selain Kementerian Kesihatan, Aixin turut menyumbangkan barangan perlindungan diri bagi kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai lebih RM300,000 di Johor.
#COVID-19
#Datin Fam Yuen Nee
#Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba
#Pengerusi Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Aixin Malaysia
#PPE
#Timbalan Pengerusi Aixin Datuk Liu Han Ming