COVID-19: Sahabat AIM boleh mohon lanjutan moratorium - Lajim Ukim

Astro Awani
Disember 15, 2020 18:45 MYT
Hamzah (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Sahabat AIM sambil disaksikan Lajim (dua dari kiri) dan Mohamed Shamir dalam program Bakul Kasih AIM baru-baru ini. - Foto AIM
KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman secara bersasar kepada Sahabat (peminjam) yang berdepan dengan masalah penyusutan pendapatan akibat pandemik COVID-19, bermula awal tahun hadapan.
Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, Sahabat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk membuat pembayaran pinjaman boleh membuat permohonan lanjutan moratorium bersasar itu.
"AIM menyedari keperitan yang dialami Sahabat lebih lagi dalam tempoh yang sukar ini. Maka, kami menyediakan permohonan lanjutan moratorium bersasar kepada mereka.
"Sahabat boleh memohon lanjutan moratorium untuk tiga minggu. Sekiranya masih tidak dapat membuat pembayaran, lanjutkan tambahan tiga minggu dan seterusnya sehingga setahun ditawarkan.
"Mereka yang memerlukan lanjutan moratorium boleh membuat permohonan di cawangan berhampiran bermula awal tahun hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Program Bakul Kasih AIM di Dewan Felcra Seri Gala, Slim River, Perak.
Program Bakul Kasih menjadi medan terbaik AIM mendekati golongan berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal dan Sahabat yang kurang berkemampuan selain memastikan tidak tercicir dari kelangsungan hidup.
Dalam pada itu, Lajim berkata permohonan Sahabat akan dipantau bagi memastikan mereka layak untuk memohon lanjutan moratorium bersasar berkenaan.
AIM sebelum ini mengumumkan lanjutan pembayaran moratorium yang memberi manfaat kepada 262,000 Sahabat di seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 sehingga 6 Disember lalu.
Keputusan moratorium itu membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM164 juta.
#PKPB #COVID-19 #AIM #Moratorium #sahabat
;