COVID-19: Sabah terus catat peningkatan, cuai patuh SOP antara punca - Masidi

Astro Awani
Februari 6, 2022 17:11 MYT
Masidi berkata, faktor kedua adalah sikap cuai atau tidak peduli segelintir masyarakat kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
KUALA LUMPUR: Sabah terus mencatatkan peningkatan kes COVID-19 yang disifatkan tinggi dengan 1,285 kes, kata Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata, dua faktor dikesan mengakibatkan peningkatan itu berlaku.
"Ada dua faktor. Faktor yang jelas ialah virus sudah berada dalam komuniti dan memudahkan kadar perebakan serta jangkitan dengan lebih cepat.
"Sebanyak 47.55 peratus jangkitan baharu hari ini berlaku secara sporadik dan hanya disedari apabila pesakit mengalami gejala jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Selain itu, Masidi berkata, faktor kedua adalah sikap cuai atau tidak peduli segelintir masyarakat kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Sebagai contoh, katanya pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sudah semakin longgar sekali gus memudahkan jangkitan COVID-19.
"Selain itu, tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes-kes baharu yang melambung tinggi sejak seminggu ini berkemungkinan disebabkan varian Omicron yang lebih cepat merebak.
"Kadar perebakan varian Omicron merupakan varian dominan di negara jiran Filipina adalah 1.8 lebih cepat daripada varian biasa," katanya.
Dalam pada itu, terdapat empat daerah mencatatkan kes tiga angka dengan Kota Kinabalu melepasi paras 300; Sandakan 201 kes dan Tuaran 150 kes serta Penampang 108 kes.
Sejumlah 1,276 daripada 1,285 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 manakala lima kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.
#Kes Sabah meningkat #Masidi Manjun #cuai SOP #pemakaian pelitup muka
;