COVID-19: Sabah sekat kemasukan dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Sri Lanka
Ruzaini Zulkepli
Mei 2, 2021 22:13 MYT
Mei 2, 2021 22:13 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah hari ini mengumumkan sekatan kemasukan bagi semua individu dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka mulai esok.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu bertujuan menghalang penularan varian baharu di beberapa buah negara sehingga menyumbang kepada lonjakan kes pandemik COVID-19.
"Pengecualian masuk ke negeri Sabah adalah diberikan kepada rakyat Sabah dan pasangan suami isteri dan anak kepada rakyat Sabah sahaja (yang datang dari empat negara terbabit).
"Walau bagaimanapun, mereka perlu mematuhi prosedur kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kru kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka dalam tempoh 14 hari juga tidak dibenar menjalankan prosedur “signoff” di Sabah.
"Bagaimanapun, kru warganegara Malaysia dikecualikan namun mereka perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan. Arahan ini berkuat kuasa pada 3 Mei," katanya.