COVID-19: Sabah catat pertambahan 192 kes positif

Astro Awani
Jun 25, 2022 16:17 MYT
Menerusi portal COVID-19, Sabah melaporkan tiga kes kematian akibat wabak itu dalam tempoh dua minggu. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sabah hari ini melaporkan pertambahan 192 kes positif COVID-19 seterusnya mencatatkan peningkatan sebanyak 22 kes berbanding Jumaat.
Menerusi kenyataan pada Sabtu, Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, angka ini sekali gus menyaksikan lonjakan sebanyak 76 kes dalam tempoh lima hari.
‘’Catatan angka jangkitan harian yang tinggi di Sabah banyak dipengaruhi oleh jumlah jangkitan yang semakin bertambah di pusat bandar yang padat dengan penduduk seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan.
‘’Hari ini jangkitan di Kota Kinabalu naik kepada 63 kes (+11) sementara jumlah jangkitan di Penampang melonjak naik daripada 29 kes semalam kepada 59 kes (+30),’’ katanya.
Tambah Masidi, secara keseluruhan 12 daerah merekodkan penurunan kes baharu berbanding lapan daerah yang mencatatkan peningkatan kes.
Selain itu, 12 daerah tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes pada Sabtu berbanding sembilan daerah pada Jumaat.
Secara keseluruhan, 186 kes yang dilaporkan hari ini melibatkan kategori satu dan dua, dua kes kategori tiga, tiga kes kategori empat dan satu kes dalam kategori lima.
Sementara itu menerusi portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) COVIDNOW, Sabah melaporkan tiga kes kematian akibat wabak itu dalam tempoh dua minggu.
#COVID-19 #kes COVID-19 di Sabah #portal COVID-19 #Kota Kinabalu #Masidi Manjun
;