COVID-19: Sabah catat 3,361 kes, angka tertinggi sejak pandemik

Astro Awani
Februari 11, 2022 08:29 MYT
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes-kes bergejala kekal tinggi dengan 1,785 kes atau 53.11 peratus daripada keseluruhan jumlah kes hari ini.
KUALA LUMPUR: Sabah hari ini mencatatkan angka kes positif COVID-19 tertinggi sepanjang penularan wabak itu di negara ini iaitu 3,361 kes.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes-kes bergejala kekal tinggi dengan 1,785 kes atau 53.11 peratus daripada keseluruhan jumlah kes hari ini.
Menurutnya, dua kluster diisytihar iaitu masing-masing kluster komuniti yang dikenali sebagai Kluster Loboh Nabawan dan kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Pengkalan Abai.
Katanya, bagi Kluster Loboh Nabawan, ialah berkait rapat dengan majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kampung Loboh Nabawan pada 1 Februari lalu.
"Kes indeks adalah seorang wanita, 59 tahun yang mula bergejala pada 6 Februari lalu sebelum disahkan positif dua hari kemudian selepas menjalani saringan di Klinik Kesihatan Nabawan.
"Saringan kontak rapat mendapati 16 lagi kes positif dan mereka telah dikuarantin dan diberi rawatan sesuai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagi Kluster Pengkalan Abai pula, Masidi berkata ia melibatkan asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Said dan keluarga guru.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kes indeks merupakan pelajar perempuan berusia 18 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 7 Februari lalu.
Katanya, saringan kontak rapat yang terdiri daripada guru, rakan sebilik dan rakan sekelas mendapati 38 orang dijangkiti.
"Jumlah kluster yang aktif diseluruh Sabah setakat ini ialah 36 kluster termasuk dua kluster baharu yang diisytiharkan hari ini.
"Sebanyak 26 daripada kluster-kluster ini adalah kluster yang melibatkan institusi pendidikan, enam Kluster Tempat Kerja, dua Kluster Komuniti dan masing-masing satu kluster Kluster Keagamaan dan Kluster Berisiko Tinggi," katanya.
Selain itu, Masidi berkata, 3,353 kes atau 99.76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 manakala lima kes dalam Kategori 3; Kategori 4 (dua kes) dan satu kes Kategori 5.
#Kes positif Sabah #Sabah catat peningkatan #kes positif COVID-19 #Sabah