COVID-19: Saarani antara individu terawal terima vaksin di Perak
Amirrul Rabbani
Mac 1, 2021 12:39 MYT
Mac 1, 2021 12:39 MYT
IPOH: Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini.
Beliau menerima suntikan itu kira-kira jam 9.15 pagi, dikendalikan Jururawat Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Batu Gajah, M Kirage Letchumy.
Ia menjadikan beliau antara individu terawal menerima suntikan tersebut di negeri ini.
Saarani mengetuai seramai 221 individu yang menerima suntikan tersebut hari ini, termasuk barisan Exco kerajaan negeri serta Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ding Lay Ming.
Berkongsi pengalamannya, Saarani menyifatkan proses suntikan imunisasi yang diterima berjalan lancar selain tidak mengalami sebarang perubahan kesihatan selepas tempoh pemerhatian 15 minit.
"Saya tak ada alahan. Jadi, saya berada dalam (pemerhatian) 15 minit. InsyaAllah sudah lepas 15 minit ini. Saya fikir tak ada perkara yang perlu ditakuti oleh sesiapa sahaja.
"Vaksin ini bukan perkara yang pertama. Orang yang biasa pergi haji, pergi umrah, memang sudah biasa ambil vaksin sebelum ini pun. Malahan, kita di sekolah dulu pun ada vaksin cacar.
"Bukan perkara luar biasa," katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, sebanyak 22,230 dos pertama vaksin diberikan sepanjang pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 di Perak.
Bagi tujuan itu, katanya, seramai 39,760 petugas barisan hadapan di negeri itu akan menerima suntikan pada fasa pertama program tersebut yang dijangka selesai pada hujung April.