COVID-19: Rentas negeri termasuk babit peniaga durian punca peningkatan mendadak kes di Kelantan

Muhafandi Muhamad
Julai 25, 2021 17:11 MYT
Beberapa kluster dikesan di Kelantan membabitkan pergerakan rentas negeri termasuk dalam kalangan peniaga durian. - Gambar hiasan/ Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan kesal dengan peningkatan kes COVID-19 mendadak sejak beberapa hari lepas yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata beberapa kluster dikesan membabitkan pergerakan rentas negeri termasuk dalam kalangan peniaga durian.
"Saya terkejut juga dengan peningkatan mendadak dan rasa dukacita tetapi kita terpaksa hadapi sebab itu kita minta kerjasama semua pihak patuh SOP (terutama berkaitan rentas negeri) sebelum ini.
"(Kluster) di Machang berniaga durian, di Jeli berniaga durian juga... rentas negeri bawa balik durian. Kluster di Jeli membabitkan remaja umur 15 tahun. Dia rentas negeri pergi ambil durian.
"Walaupun mereka tidak bergejala selepas merentas negeri, virus yang ada pada tubuh mereka telah mencetus kluster di kawasan mereka," katanya di sini, pada Ahad.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini sudah mengingatkan perantau supaya tidak pulang ke Kelantan sekiranya tiada urusan kematian atau kecemasan.
Hari Raya Aidiladha | Sultan Muhammad V titah rakyat tidak rentas negeri
Mengenai aktiviti penjualan durian di bahu jalan, Mohd Amar berkata aktiviti berkenaan sebenarnya melanggar SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Bagaimanapun kerajaan negeri tidak mengenakan tindakan kerana menimbang (mengambil kira) kesusahan rakyat dan peniaga yang terkesan," katanya.
#Kelantan #rentas negeri #COVID-19 #peningkatan kes #Timbalan Menteri Besar #Mohd Amar #kluster durian
;