COVID-19: Ramai tidak sabar divaksin bagi ketenangan fikiran
Bernama
Jun 7, 2021 04:45 MYT
Jun 7, 2021 04:45 MYT
GEORGE TOWN: Hampir dua tahun berdepan pandemik COVID-19, orang ramai tidak sabar untuk mendapatkan vaksinasi secepat mungkin bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti sebelum penularan pandemik itu.
Pemandu teksi, Samsuddin Saat, 61, yang mendapat suntikan dos pertama vaksin Astrazeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Spice Arena semalam, berkata anak perempuannya membantu pendaftaran beliau dan isterinya, sebaik sahaja slot untuk vaksin itu dibuka di Pulau Pinang dan berasa lega selepas mendapat pengesahan janji temu.
"Saya teruja untuk divaksinasi bagi melindungi diri saya kerana hasil pendapatan saya sebagai pemandu teksi, bermakna saya mempunyai hubungan rapat dengan ramai orang.
"Ini akan memberikan saya fikiran yang tenang apabila saya pulang ke rumah bertemu keluarga.
"Sebelum meninggalkan rumah untuk pergi bekerja, saya sentiasa berdoa supaya saya tidak dijangkiti COVID-19.
"Saya akan rasa lebih yakin selepas mendapat dos kedua pada 31 Ogos," katanya kepada pemberita.
Samsuddin yang tinggal di Sungai Nibong, berharap orang ramai akan mendaftar untuk mendapatkan vaksin bagi menyelamatkan sistem kesihatan negara.
"Anak perempuan saya jururawat di Johor Bahru dan dia sering beritahu kami bagaimana sukarnya petugas perubatan barisan hadapan bekerja untuk mengendalikan kes COVID-19, di samping memakai berlapis-lapis sut peralatan perlindungan diri (PPE).
"Adalah mengecewakan apabila melihat masih ada individu yang percaya bahawa COVID-19 adalah propaganda.
"Sangat menyedihkan apabila melihat kes kematian melonjak setiap hari," katanya lagi.
Sementara itu, bagi pesara guru Nazariah Nordin, 54, kes baharu harian yang tinggi dan jumlah kes COVID-19 asimptomatik yang semakin meningkat adalah paling membimbangkannya, terutama banyak sektor ekonomi masih beroperasi.
"Saya dan suami telah mendaftar secara sukarela untuk vaksin COVID-19 AstraZeneca dan kami mendapat slot janji temu di Kuala Lumpur.
"Kami sungguh lega apabila mendapat suntikan pada 1 Jun baru-baru ini," katanya.
Walaupun menetap di Pulau Pinang, dia berkata mereka tidak kisah untuk memandu ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan suntikan secepat mungkin.
Walaupun vaksin AstraZeneca sebelum ini diselubungi kontroversi kerana kesan sampingan yang mungkin berlaku, namun beliau berpendapat sentimen itu secara amnya sama bagi majoriti yang lain kerana orang ramai lebih berminat untuk mendapat perlindungan awal memerangi COVID-19.
"Saya tidak kisah untuk mendapatkan vaksin ini selagi ia diluluskan oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).
"Saya hanya mengalami sedikit demam selepas 24 jam dan sakit di bahagian lengan, yang pulih selepas saya mengambil ubat tahan sakit setiap enam jam," kata ibu kepada dua anak itu.
-- BERNAMA
#vaksin
#Pusat Pemberian Vaksin
#COVID-19
#PPV
#dos pertama
#dos kedua
#AstraZeneca
#suntikan
#Samsuddin Saat
#Spice Arena