COVID-19: Rakyat Pulau Pinang diingatkan jangan terlalu selesa

Bernama
Julai 29, 2020 23:07 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo berkata pemantauan pihaknya mendapati tahap pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) semakin berkurangan. - Gambar Fail
Penduduk Pulau Pinang diingatkan supaya tidak terus berasa selesa dan mengambil ringan dengan pandemik COVID-19 biarpun negeri ini tidak merekodkan kes positif baharu dalam tempoh 93 hari dan masih berada dalam kategori zon hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata pemantauan pihaknya mendapati tahap pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) semakin berkurangan, terutamanya membabitkan jarakan sosial.
"Kini di seluruh dunia telah berlaku gelombang kedua malah terdapat negara yang mengalami gelombang ketiga penularan wabak penyakit ini. Ingat, pandemik ini belum berakhir dan kita tidak boleh leka. Perjuangan kita jauh lagi sehingga satu vaksin ditemui yang dijangka mengambil masa beberapa tahun lagi," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan trend peningkatan bagi jumlah kes positif COVID-19, pihaknya membuat keputusan untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan pematuhan SOP terhadap orang awam seperti mana yang dijalankan semasa pelaksanaan awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, para petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai akan ditempatkan semula di pasar awam di seluruh negeri ini bagi memantau tahap pematuhan SOP orang awam dan peniaga.
-- BERNAMA
#kes positif #koronavirus #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP #pulau pinang #Seberang Perai #SOP
;